Lelaki parah ditetak dalam cubaan samun

Lelaki parah ditetak dalam cubaan samun

Mangsa berusia 24 tahun ditetak dengan kapak di bahagian kepala dan bahu dalam cuba samun di sebuah bank di Taman Sri Sinar, Segambut.

Polis menahan 2 lelaki untuk membantu siasatan.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki cedera parah di bahagian kepala dan bahu dipercayai ditetak dengan kapak ketika cuba disamun di sebuah bank di Taman Sri Sinar, Segambut, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shanmugamoorthy Chinniah berkata dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang hendak mengeluarkan wang dihampiri seorang lelaki dan dipaksa mengeluarkan sejumlah wang.

Menurutnya, mangsa bertindak melawan dan berlaku pergelutan sebelum suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan 4 roda.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur oleh ambulans untuk menerima rawatan. Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, polis menahan 2 lelaki masing-masing berusia 24 dan 33 tahun pada pukul 10 malam tadi bagi membantu siasatan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.