Bukan perkara baru, Cina di Kelantan hidup macam orang Melayu

Bukan perkara baru, Cina di Kelantan hidup macam orang Melayu

Ban Sing akui anaknya dan sebahagian keluarga lain dari kelompok 'Cina kampung' masih kekal mengamalkan cara hidup Melayu.

Hidup bermasyarakat dan menyelami adat resam dan budaya sesuatu bangsa yang berlainan daripada kita bukanlah perkara baru di Malaysia.

Di negeri Kelantan, masyarakat bukan Melayu di sini tidak kekok dengan adat dan budaya Melayu malah mereka sudah sebati dengan cara hidup tersebut sejak zaman-berzaman.

Misalnya bagi sepasang warga emas berketurnan Cina yang hidup sebagai orang Melayu malah turut dikenali dengan nama Melayu.

Tan Ban Sing, 94 dan isteri, Kua Gok Ti, 89 dari kampung Pangkal Kiat petah menggunakan dialek Kelantan untuk berkomunikasi sesama mereka dalam kehidupan seharian mereka.

Menjadi kumpulan yang digelar ‘Cina kampung’, jumlah mereka dikatakan agak signifikan dan mengamalkan cara hidup Melayu sejak zaman kanak-kanak lagi.

Menariknya, Ban Sing juga dipanggil dengan nama ‘Pak Hassan’ oleh penduduk setempat kerana pasangan ini mengamalkan budaya Melayu bukan sahaja dari aspek pertuturan tetapi cara berpakaiaan hingga soal makan minum termasuk makan ulam, nasi berlauk ikan kering dan budu.

Memetik laporan Harian Metro, mereka sebati dengan gaya hidup berkenaan kerana mempunyai hubungan rapat dengan penduduk setempat.

“Kerana rapatnya hubungan ayah dengan seorang penduduk kampung berketurunan Melayu dahulu, dia membenarkan lelaki itu mengambil saya sebagai anak angkatnya dan diberikan nama ‘Hassan’.

“Hingga kini penduduk setempat memanggil saya dengan nama itu. Ia membuat saya megah menjadi ‘Cina kampung’,” kata Ban Sing kepada akhbar itu lagi.

Walaupun selesa mengamalkan hidup sebagai Melayu, dia tetap tidak melupakan tradisi Cina.

“Ramai yang tidak percaya kami masih mengamalkan cara hidup Melayu malah ada sebahagian daripada anak dan keluarga lain juga turut terikut-ikut mengamalkan cara hidup ini.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah melupakan asal usul saya sebagai bangsa Cina,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.