Sudah tiba masa untuk subjek alam sekitar di sekolah, kata aktivis

Sudah tiba masa untuk subjek alam sekitar di sekolah, kata aktivis

Maketab Mohamed berkata, sudah tiba masanya memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada generasi muda untuk mendidik mereka kepentingan pemuliharaan alam semula jadi dan kelangsungan masa depan.

BN sebelum ini mengumumkan subjek Kajian Alam Sekitar akan diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mempertimbangkan mata pelajaran alam sekitar dalam sukatan pelajaran sekolah kebangsaan, kata seorang aktivis alam sekitar.

Bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Maketab Mohamed berkata, sudah tiba masanya sukatan itu diperkenalkan kerana sangat penting bagi generasi muda memahami pendidikan alam sekitar demi pemuliharaan alam semula jadi dan kelangsungan masa depan.

“Jika kita tidak memahami keseriusan perubahan iklim, kita akan terus dalam keadaan penafian seperti apa yang dibuat oleh (Presiden Amerika Syarikat, Donald) Trump sekarang,” katanya kepada FMT.

Kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan pelajar di sekolah akan diperkenalkan dengan mata pelajaran khusus berkaitan alam sekitar mulai tahun depan.

Bekas menteri sumber asli dan alam sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata subjek Kajian Alam Sekitar akan diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak membuat sebarang pengumuman baru berhubung perkara itu, sama ada diteruskan atau tidak.

Maketab, yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia memberitahu, pendidikan alam sekitar di negara ini sudah lama dihapuskan.

“Jika dibandingkan kurikulum kita dengan Jerman dan negara-negara Scandinavia (Denmark, Sweden, Norway) atau United Kingdom, pendidikan alam sekitar mereka bermula dari tadika dan berterusan hingga sekolah menengah dan universiti,” katanya.

Kajian terbaru menunjukkan pendidikan alam sekitar, meskipun menghadapi beberapa cabaran, berkembang secara progresif di Malaysia.

Kajian bertajuk “Satu Penilaian kepada Kemajuan Semasa Media Malaysia dan NGO Alam Sekitar dalam Pendidikan Alam Sekitar” mengakui peranan aktif media dan organisasi sukarela Malaysia dalam mempromosikan pendidikan alam sekitar secara tidak formal.

Kajian itu menghargai usaha mereka “terutamanya dalam mewujudkan kesedaran, memberikan pengetahuan alam sekitar dan mengubah minda orang ramai untuk membantu membangunkan warga hijau”.

Kajian yang dijalankan 4 ahli akademik dari sebuah universiti tempatan itu berkata, sukar untuk media tempatan memainkan peranannya sebagai pendidik alam sekitar kerana sekatan oleh pemilik media dan pengiklan.

“Ini jelas mempengaruhi jenis maklumat yang boleh diterbitkan dalam akhbar.”

Menurut kajian itu, media tempatan dan NGO alam sekitar juga menghadapi cabaran seperti kekurangan minat masyarakat dalam sains dan alam sekitar kerana menganggap disiplin ilmu itu sebagai topik yang “berat”.

Rata-rata NGO alam sekitar pula dicabar faktor lain, seperti sumbangan dana terhad yang mempengaruhi aktiviti dan program mereka, kata kajian itu.

Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, salah seorang penulis laporan itu berkata, ada manfaat dalam pendidikan awal mengenai subjek penting itu.

“Pelajar perlu dilatih untuk menjadi duta-duta kecil alam sekitar yang sama-sama menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi FMT.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.