Bekas hakim: Pinda perlembagaan benar 4 hakim tertinggi berkhidmat hingga umur 70

Bekas hakim, Gopal Sri Ram.

PETALING JAYA: Seorang bekas hakim mencadangkan Putrajaya meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan 4 hakim tertinggi terus berkhidmat hingga ke umur 70 tahun bagi meneruskan pembaharuan kehakiman mereka.

Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, kerajaan boleh mendapat sokongan 2/3 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara kerana cadangan itu adalah untuk kebaikan negara.

“Pembangkang akan menyokong pindaan tersebut kerana ia tidak bertujuan politik,” katanya kepada FMT.

Sri Ram berkata demikian sebagai respons kepada kelompangan besar yang akan berlaku selepas 4 hakim tertinggi itu bersara bersilih ganti tahun depan.

Umur persaraan hakim ialah 66 tahun dengan opsyen lanjutan selama 6 bulan sekiranya diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Hakim Tan Sri Richard Malanjum bakal bersara pada April tahun depan, sementara Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim pada Mei berikutnya, setelah kedua-dua mereka mendapat lanjutan 6 bulan.

Malanjum dan Zaharah dilantik ke jawatan masing-masing pada Julai tahun ini.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah masing-masing akan bersara pada Mei dan Ogos depan.

Tiga hakim Mahkamah Persekutuan juga akan bersara tahun depan, iaitu Tan Sri Ramly Ali pada Februari, Datuk Balia Yusof Wahi pada Mac, dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin pada April.

Berikutan persaraan itu, satu-satunya hakim kanan Mahkamah Persekutuan yang kekal berkhidmat ialah Tan Sri Azahar Mohamed, yang dinaikkan pangkat pada 2014 dan akan bersara pada 2022.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan maksimum 15 hakim dilantik ke Mahkamah Persekutuan, termasuk 4 pentadbir tertinggi. Pada masa ini hanya ada satu kekosongan jawatan berikutan persaraan Tan Sri Aziah Ali bulan lepas.

Enam hakim Mahkamah Rayuan, termasuk 3 yang baru-baru ini dilantik ke Mahkamah Persekutuan, dianggap masih baru dan kurang pengalaman untuk memegang jawatan pentadbiran.

Sri Ram, yang pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan berkata, alternatif kedua ialah dengan melantik peguam kanan dari Majlis Peguam sebagai ketua hakim selepas Malanjum bersara kelak.

“Kita ada duluan (dalam hal ini), pada 2007, Tun Zaki Azmi dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sebelum beliau menjawat jawatan ketua hakim pada tahun berikutnya,” katanya.

Bagaimanapun kata Sri Ram, calon terbabit mestilah seorang pentadbir yang baik, berminat dengan undang-undang dan mampu menulis penghakiman yang bermutu.

Alternatif ketiga katanya, ialah dengan mencari hakim yang sedang berkhidmat untuk dilantik sebagai ketua hakim dan calon berkenaan boleh juga didapati dari Mahkamah Tinggi.

“Di sini pun ada duluan, iaitu apabila hakim Mahkamah Tinggi pada masa itu, Tan Sri Steve Shim dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2000 untuk menjawat jawatan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak,” tambah beliau.

Dalam pada itu, presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, tidak banyak pembaharuan boleh dicapai sekiranya tempoh perkhidmatan mereka yang dilantik ke jawatan pentadbiran terlalu pendek.

Beliau berkata, kekosongan jawatan itu perlu diisi oleh individu yang berintegriti.

“Kita perlukan hakim yang peribadinya kuat, yang hanya akur kepada undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Ragunath berkata, calon boleh juga diambil dalam kalangan peguam kanan, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Saya harap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan berbincang dengan peguam negara dan 3 wakil dari Majlis Peguam tentang siapakah yang harus dicadangkan ke mahkamah tertinggi,” katanya.

Ragunath berkata, pada waktu ini badan kehakiman perlu memperoleh kepercayaan awam bahawa ia merupakan badan yang berkesan bagi menyekat keterlanjuran badan perundangan dan eksekutif.

“Kita juga memerlukan hakim Mahkamah Persekutuan yang boleh membuat penghakiman yang bermutu,” katanya, dan menambah bahawa terdapat kes keputusan yang boleh dipersoalkan dan menjadi duluan yang buruk.