Bila melihat kedai pajak, mesti terbayang barangan kemas seperti gelang atau rantai yang ‘disimpan’ sementara oleh individu yang kesempitan wang.

Tetapi sebuah kedai di Kelantan sedia menerima Mykad sebagai bahan gadaian untuk meminjam duit.

Kedai yang melakukan operasi ini disebalik permit kedai menjual aksesori telefon beroperasi sehingga 3 pagi dan biasanya dikunjungi individu yang benar-benar terdesak kerana kesempitan wang .

Memetik laporan Utusan Malaysia, kedai aksesori yang beroperasi di sebuah daerah di Kelantan itu bergerak aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu tanpa segan silu dan membuka kedai berkenaan melebihi 15 jam sehari.

Lebih parah apabila tauke kedai berkenaan menggunakan taktik licik dengan mengambil kesempatan menetapkan tempoh penebusan yang singkat sebelum mengenakan kadar faedah yang tinggi terhadap pemajak.

Tambah laporan itu lagi, penduduk tempatan yang pernah menyaksikan ‘urusan pajak gadai’ Mykad menceritakan tauke tersebut menyerahkan wang RM100 kepada seorang lelaki yang selepas dia bersetuju meninggalkan kad pengenalannya dalam ‘jagaan’ kedai.

FMT Ohsem berharap agar mereka diluarsana berhati-hati. Meskipun kita kesempitan wang, jangan ambil jalan mudah. Takut nanti Mykad yang digadai disalahguna individu tidak bertanggungjawab.