Penggemar siri televisyen drama kepolisan popular, Gerak Khas pasti tidak akan melupai kelibat Inspektor Aleza yang pernah menggegarkan set drama itu sejak ia mula ditayangkan pada 1999 hingga 2007.

Namun watak itu disenyapkan selepas pelakonnya, Abby Abadi atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan meninggalkan drama bersiri tersebut lebih 10 tahun yang lalu.

Tetapi kepada peminat Abby Abadi dan Gerak Khas, anda boleh melihat semula kemunculan watak itu menerusi pelakon asalnya, dalam musim terbaru 2019.

Sebelum ini sudah ada banyak khabar yang menyatakan mengenai kemunculan semula pelakon berusia 41 tahun apabila namanya disebut-sebut oleh pengarah Gerak Khas, Yusof Haslam dalam laman sosial.

Terbaru satu posting viral di laman sosial apabila Abby mengakui menerima kunjungan wakil ‘wardrobe’ Skop Production mengukur saiz tubuh untuk menyediakan pakaian seragam polis.

“Sebenarnya, selepas raya tempoh hari Datuk Yusof Haslam sudah beberapa kali bercakap mengenai perkara ini. Malah, Norman pun ada menyampaikan tawaran Datuk kepada saya.
“Bulan lalu, selepas Datuk bercakap sendiri dengan saya, saya terus kata okey. Tak ada istilah pujuk pun,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro.

Abby pernah memenangi kategori Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH menerusi watak selama 4 tahun berturut-turut.

Apapun, Abby akui watak yang akan dibawanya kali ini bukan bersifat laksi lasak sebaliknya watak yang tidak membebankan beliau.

“Insya Allah, jika ada ruang kali ini dengan watak Aleza, saya nak buat sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat.

“Setakat ini tiada masalah. Nampak sama-sama sedang berusaha nak jadi lebih baik dari dulu,” katanya lagi.

Abby berseloroh akan tunggu berat badannya mencapai saiz ideal untuk aksi yang memerlukan beliau mengejar penjenayah.