Melayu perlu syukur Umno kalah, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Orang Melayu harus bersyukur Umno kalah kerana pemimpin parti itu tidak lagi boleh menipu atau menutup kelemahan mereka, kata Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Umno paling takut orang Melayu tahu kesalahan-kesalahan mereka dan kerana itulah Umno duka nestapa “kononnya orang Melayu sudah hilang kuasa” apabila tertubuhnya kerajaan baru.

“Saya hendak beritahu orang Melayu, setelah Pakatan Harapan menang pilihanraya, orang Melayu tidak hilang kuasa. Yang hilang kuasa ialah Umno.

“Inilah yang paling ditakuti oleh Umno. Apabila hilang kuasa, segala kesalahan mereka terbongkar dan pemimpin mereka terpaksa berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah,” katanya ketika berucap di majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Pemuda dan Wanita PPBM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Muhyiddin memberi jaminan kepada orang Melayu bahawa partinya akan menjunjung undang-undang ketika bekas pemimpin-pemimpin mereka diadili di mahkamah.

“Jika terbukti mereka bersalah, biarlah mahkamah yang menentukan nasib mereka,” katanya.

Jangan percaya PAS

Presiden PPBM sempat berpesan kepada bekas partinya, mengingatkan Umno jangan terlalu beria-ria bekerjsama dengan PAS untuk mengubah nasib parti itu.

Muhyiddin meminta Umno supaya belajar dari sejarahnya yang panjang kerana cerita pakatan Umno-PAS “berkurun lama” tetapi tidak pernah berlaku.

“Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa hari yang lalu buat satu kenyataan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Unmo kerana bahtera Umno sedang bocor. PAS takut bahtera partinya juga akan karam kalau dilihat terlalu rapat dengan Umno.

“Apa maknanya ini? Maknanya tiada harapan untuk Umno berpakat dengan PAS, dan PAS bukanlah sebuah parti yang boleh dipercayai. PAS hanya mementingkan partinya sendiri,” katanya.

Jangan terlalu harapkan kerajaan

Sementara itu, Muhyiddin menyeru orang Melayu perlu mengubah sikap untuk berjaya dengan berdikari tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

Beliau berkata bantuan kerajaan tidak memadai untuk menjamin kejayaan orang Melayu dalam dunia yang semakin kompetitif.

“Ini memerlukan orang Melayu untuk lebih rajin berusaha, berdisiplin dan berani mengambil risiko untuk menceburi pelbagai bidang keusahawanan dan perniagaan baharu,” katanya.

“Kerajaan boleh menyediakan bantuan tetapi hanya diri kita sendiri yang mampu mengubah nasib bangsa kita.”

Beliau berkata PPBM akan memperjuangkan dasar pro Bumiputera baru yang akan benar-benar memajukan orang Melayu dan Bumiputera seluruhnya, berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama.

“Saya akan mencadangkan kepada majlis presiden Pakatan Harapan agar agenda Bumiputera dijadikan dasar teras PH dan diterima oleh Kabinet untuk dilaksanakan sebagai satu agenda nasional,” katanya.