Pengambilan pekerja bidang IT, O&G meningkat 

Sektor IT dan O&G merupakan 2 daripada 9 industri yang memperlihatkan pertumbuhan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan teknologi maklumat (IT), telekom/internet dan industri minyak dan gas (O&G) masing-masing mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 35% dan 16% dalam tempoh 6 bulan lepas dari segi pengambilan pekerja secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Monster.Com bagi Asia-Pasifik dan Timur Tengah, Abhijeet Mukherjee berkata berdasarkan Indeks Pekerjaan Monster, sektor perkhidmatan pelanggan mencatatkan pertumbuhan 6% tahun ke tahun dalam pengambilan, diikuti perisian, perkakasan, profesional telekom, yang menambah 3%.
“Sektor IT dan O&G merupakan 2 daripada 9 industri yang memperlihatkan pertumbuhan. Kedua-dua sektor ini menunjukkan pertumbuhan kukuh masing-masing sebanyak 28% dan 16%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, sektor lain seperti perbankan, perkhidmatan kewangan dan industri insurans (BFSI) mencatatkan penurunan 12%, manakala permintaan untuk profesional jualan dan pembangunan perniagaan turut merosot pada asas 10% tahun ke tahun pada November.
Pengambilan secara dalam talian dalam industri BFSI di Malaysia mengalami penurunan selama 11 bulan sejak awal tahun ini.
“Menurut firma penyelidikan, ketidaktentuan dasar makro selepas pilihan raya mewujudkan kelembapan kesan terhadap pertumbuhan sektor perbankan, dan penganalisis turut menjangkakan pertumbuhan pendapatan teras juga rendah tahun ini.
“Sektor kewangan yang sebelum ini didorong oleh keputusan manusia dan pembuat keputusan, kini semakin berubah, susulan kemunculan teknologi baharu, khususnya automasi pintar,” kata Mukherjee.
Beliau berkata bank perlu memberi tumpuan dengan mengambil pekerja yang pakar dalam teknologi tertentu.
“Membangunkan strategi bakat yang menangani latihan semula secara menyeluruh, mengenal pasti kemahiran dan kepakaran yang diperlukan untuk bersaing pada masa depan, selain menarik, mengekalkan bakat yang tepat sangat penting dalam sektor ini,” katanya.