
Kementerian itu berkata, ia mendapati nama, tarikh lahir dan alamat 997 orang terbabit dicuri minggu lepas melalui komputer yang dimasukkan perisian perosak di sebuah agensi bernama pusat Hana, di Gumi, sebuah bandar di selatan negara itu.
“Perisian perosak itu dimasukkan melalui e-mel yang dihantar dari alamat dalaman,” kata pegawai kementerian yang tidak mahu dikenali kepada pemberita kerana ia merupakan isu sensitif, dengan merujuk kepada akaun e-mel pusat Hana.
Pusat Hana adalah antara 25 institut yang dikendalikan oleh kementerian berkenaan di seluruh negara bagi membantu kira-kira 32,000 warga Korea Utara yang berpaling tadah menyesuaikan diri dengan kehidupan di Korea Selatan yang lebih kaya dan demokratik dengan menyediakan pekerjaan, serta sokongan perubatan dan undang-undang.
Kumpulan itu, yang kebanyakannya bersabung nyawa untuk lari daripada kemiskinan dan penindasan politik, memalukan Korea Utara. Media milik kerajaan negara itu sering menggunakan istilah “sampah” untuk mengutuk mereka, sekali gus menuduh pengintip Korea Selatan menculik sesetengah daripada mereka.
Pegawai kementerian enggan memberitahu sama ada Koreau Utara mendalangi perbuatan tersebut atau apakah motifnya, dengan berkata, polis sedang menyiasat insiden tersebut bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab.
Sebelum ini, penggodam Korea Utara dituduh melakukan serangan siber ke atas agensi kerajaan Korea Selatan dan syarikat perniagaannya.
Tahun lepas, Korea Utara mencuri dokumen rahsia Kementerian Pertahanan dan sebuah syarikat pembina kapal Korea Selatan, sementara sebuah pasaran mata wang krypto memfailkan permohonan kebankrapan berikutan serangan siber yang dikaitkan dengan Korea Utara.
Media kerajaan Korea Utara menafikan penglibatannya dalam serangan siber tersebut.
Pencerobohan terbaru berlaku pada saat 2 negara itu sedang memulihkan hubungan selepas berkonfrontasi selama puluhan tahun.
Kementerian Penyatuan berkata, ia telah menghubungi warga Korea Utara terlibat dan setakat ini tiada laporan tentang kesan buruk berikutan pencerobohan data tersebut.
“Kami meminta maaf atas kejadian itu dan akan mengambil langkah bagi menghalangnya daripada berulang,” kata pegawai kementerian.
Beberapa orang yang berpaling tadah, termasuk seorang yang kemudiannya menjadi selebriti televisyen Korea Selatan, didapati hilang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi muncul selepas itu di media kerajaan Korea Utara dan mengkritik Korea Selatan serta nasib mereka yang berpaling tadah.