Sumbangan RM1 juta zakat oleh PTPTN timbulkan syak, kata C4

Sumbangan RM1 juta zakat oleh PTPTN timbulkan syak, kata C4

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme tertanya adakah Lembaga Zakat Kedah kekurangan dana atau ada kaitan dengan mesyuarat agung tahunan PPBM.

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel dakwa ada ‘percanggahan kepentingan’ dan ‘salah guna kuasa’.
PETALING JAYA:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata RM1 juta yang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serah kepada Lembaga Zakat Kedah untuk bantu penerima zakat menimbulkan syak.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan semalam berkata, cek untuk RM1 juta diserahkan kepada Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang.

Malay Mail menyebut Wan Saiful sebagai berkata, “langkah kecil ini” akan membantu mengukuhkan hubungan antara PTPTN, sebagai agensi kerajaan persekutuan, dengan Kedah dan membasmi kemiskinan.

Dalam kenyataannya, Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata, PTPTN sebelum ini menyatakan ia meminjam wang daripada bank untuk membiaya 2.9 juta pelajar dan beliau persoalkan bagaimana PTPTN masih mempunyai dana.

“Jumlah pinjaman bank mencecah RM51.2 bilion dengan tempoh bayaran yang sangat panjang,” katanya, merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN (Polisi dan Operasi) Mastura Mohd Khalid.

Menurut Cynthia, jumlah itu PTPTN guna sebagai modal untuk memberi pinjaman berterusan kepada pelajar.

Pada 23 November lalu, New Straits Times melaporkan Mastura sebagai berkata, PTPTN memberi RM54.7 bilion pinjaman kepada 2.9 juta pelajar dan PTPTN sendiri meminjam (RM51.2 bilion) daripada beberapa institusi kewangan.

Pada 12 Ogos, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jumlah pinjaman pelajar kepada PTPTN hampir sama dengan jumlah hutang ditanggung 1MDB, atau kira-kira RM39 bilion.

Cynthia berkata, kajian menunjukkan sebahagian besar kos perbelanjaan di Lembaga Zakat digunakan untuk operasi dan pengurusan, bukan untuk orang miskin.

Beliau bertanya kenapa sumbangan diberi kepada Kedah.

“Apakah Lembaga Zakat Negeri Kedah kekurangan dana dibandingkan dengan negeri-negeri lain?

“Apakah ia ada kaitan dengan mesyuarat agung tahunan esok?” katanya.

Wan Saiful adalah Ahli Majlis Tertinggi PPBM dan Pengerusi PPBM Perlis. Beliau menyertai PPBM Mac lalu.

Cynthia mendakwa, Wan Saiful juga menyumbang RM100,000 kepada mangsa banjir di Perlis sebelum ini di bawah program tanggungjawab sosial korporat PTPTN.

“Terdapat percanggahan kepentingan secara sistematik yang dikekalkan oleh bekas kerajaan BN (Barisan Nasional) melalui pelantikan politik dalam agensi kerajaan dan GLC (syarikat kaitan kerajaan),” katanya.

Beliau berkata, C4 memandang berat terhadap amalan tersebut yang didakwa terus berlaku bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti dalam isu PTPTN ini dan lain-lain.

“Adalah penting kerajaan PH menangani isu ini segera dalam menuju ke arah Malaysia Baru dan melaksanakan agenda reformasi insitusi.

“Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa manifesto pilihan raya PH membuat beberapa rujukan mengenai pelantikan ke jawatan penting yang perlu bersandarkan kepada merit, bukan hubungan politik,” katanya.

C4 meminta kerajaan menghentikan amalan pelantikan politik yang akan mencetuskan percanggahan kepentingan dan salah guna kuasa, serta wujudkan polisi atau undang-undang jelas untuk mengelak perkara-perkara demikian.

Awal hari ini, PTPTN mengumumkan RM50,000 dana pendidikan untuk akaun yang didaftarkan kepada 6 anggota bomba yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas menyelamat di Puchong tidak lama dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.