Zuraida: Inkues kes Adib buka ruang dedah bukti, saksi

Zuraida Kamaruddin (3 dari kiri) bersama ayah dan ibu Muhammad Adib Mohd Kassim semasa penyampaian sumbangan dan penghargaan

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengadakan inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau berkata dengan adanya inkues tersebut, ia membuka ruang untuk kemuka bukti dan saksi baru.

“Saksi baru boleh tampil ke depan dan beri ruang berikan maklumat dan kenyataan mengenai kes Adib.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan saya sendiri berpuas hati untuk adakan inkues oleh majistret kerana ianya lebih ruang untuk menyiasat mereka yang ada ketika kejadian terjadi.

“Inkues juga boleh mencari sebab-sebab kematian Adib dan juga bolehkan bertanya kepada pihak pakar forensik merawat Adib,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan kepada 6 wira merah JBPM serta sumbangan kepada keluarga Adib di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya.

Zuraida berkata hasil bedah siasat kematian Adib akan dibentangkan oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jadi sebab itulah nak buat inkues,” katanya.

Pihak JBPM juga menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga Adib sejumlah RM298,755.

Tabung Wira Merah untuk Adib juga dilancarkan pada 17 Disember 2018 dan akan ditutup pada 31 Januari 2019.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Peguam Negara membuat keputusan untuk mengadakan inkues bagi menentukan sebab kematian Adib.

Inkues adalah suatu prosedur di bawah Bahagian XXXII Kanun Acara Jenayah yang mana majistret boleh diarahkan oleh peguam negara menurut Seksyen 339(1) Kanun yang sama untuk membuat siasatan bagi menentukan sebab sesuatu kematian.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPPM) berpendapat KDN tidak perlu mengadakan inkues bagi kes Adib kerana akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihak polis perlu segera menyempurnakan kertas siasatan dan peguam negara membuat keputusan cepat mendakwa pihak yang terbabit.

Katanya, ini kerana bukan semua kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inkues terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan.

Zainul Rijal juga mendesak peguam negara memberikan penjelasan terperinci kenapa tiada pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 setakat ini dan kenapa pula inkues dijalankan kerana orang awam tidak mempunyai akses kepada siasatan.