Dr M maafkan Lim Kok Wing, kata ramai orang sokong selepas berkuasa

Gambar Bernama.

PUTRAJAYA: Ramai orang mahu mencari jalan mudah dengan menyatakan sokongan kepadanya selepas dilantik menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai ahli perniagaan terkenal, Lim Kok Wing yang dibidas anak perempuannya, Marina hari ini.

“Kita tahu ada sesetengah orang cari jalan mudah apabila ada yang berkuasa, dia akan sokong orang yang berkuasa. Masa saya tidak ada kuasa, dia tidak sokong. Selepas saya berkuasa semula, dia sokong. Banyak orang macam tu,” katanya sewaktu ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Perdana menteri bagaimanapun sudah memaafkan ahli perniagaan itu.

“Saya insan yang sangat pemaaf, anda juga saya maafkan,” katanya.

Terdahulu, Lim di Twitter menyokong kenyataan Dr Mahathir dengan berkata: “Betul kata Dr Mahathir bahawa kita hanya perlu tetapkan di dalam minda dan hati kita untuk mencapai matlamat dan negara maju.”

Beliau bagaimanapun dibidas Marina, yang mempersoalkan tindakan Lim sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Tolong hentikannya @limkokwing! Di mana anda tahun lalu? Siapa yang menyuruh bapa saya tutup mulut untuk menjaga legasinya?

“Jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang, adakah anda akan datang ke rumah kami tanpa diundang pada Hari Raya untuk meminta maaf? Hentikan,” tulis Marina.

Pada 2015, Dr Mahathir pernah menulis di blognya mengenai seorang rakan yang bertukar menjadi musuh.

Dr Mahathir berkata, rakannya itu cuba memujuknya untuk berhenti mengkritik Najib yang ketika itu perdana menteri.

“Dia memberi amaran jika saya terus mengkritik, saya akan hilang legasi saya, saya beritahu apa yang orang fikirkan tentang legasi saya, adalah tidak penting. Saya bimbangkan apa yang terjadi di negara ini. Reputasi baik kita telah tercemar.

“Beliau mengulangi beberapa kali bahawa saya akan hilang legasi saya. Saya sangat menghargai kebimbangannya itu. Beliau merupakan seorang rakan dan beliau prihatin tentang saya. Kita berpisah sebagai kawan,” kata Mahathir ketika itu.