Memandu dalam hujan lebat yang berpanjangan agak membahayakan, terutama musim tengkujuh dan di kawasan yang berisiko mengalami banjir kilat.

Jika anda belum memandu, sila tangguh perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda terlebih dahulu. Namun jika sedang memandu cuba cari kawasan untuk berhenti sementara menunggu cuaca kembali pulih ini kerana kita tidak dapat mengagak keadaan hujan.
Sebaiknya rancanglah perjalanan anda dengan betul dan sentiasa peka dengan keadaan jalan raya jika berlaku banjir. Jika dalam pemanduan, cari kawasan untuk berhenti sementara menunggu keadaan reda.
Di bawah beberapa panduan untuk mereka yang memandu ketika hujan.
1) Jangan cuba meredah banjir jika anda tidak pasti kedalaman, jadikan kaki lima, pembahagi jalan dan papan tanda di tepi jalan sebagai penanda.
2) Gunakan gear rendah dan elak tukar gear jika memandu kereta manual sepanjang meranduk banjir.
3) Pandu secara tetap, kekalkan kelajuan yang sangat perlahan supaya tidak menyebabkan air gelombang di hadapan. Benarkan kenderaan di hadapan melepasi anda terlebih dahulu.
4) Pastikan anda melihat laluan daratan yang jelas di hadapan supaya anda tidak perlu berhenti mengejut di tengah air kerana hilang punca.
5) Jangan cuba memandu melepasi air dan banjir yang mengalir laju, anda sebenarnya berisiko diseret air
6) Uji brek anda selepas melepasi banjir.
7) Elak memandu di laluan kanan sekali kerana berisiko kenderaan dari arah berlawanan melalui lopak air dan menyebabkan percikan ke cermin hadapan kereta dan sekali gus menghalang pandangan.
8) Jika enjin mati jangan cuba menghidupkannya semula kerana kerosakan teruk boleh berlaku, sebaliknya minta bantuan kecemasan.
Semoga info berkenaan berjaya mengurangkan keadaan panik apabila berdepan situasi ini.