
Mereka berkata langkah itu bukan hanya menjejaskan perniagaan tetapi juga ekonomi negara, mengatakan pusat hiburan banyak menyumbang kepada industri pelancongan dengan menarik pelanggan tempatan dan antarabangsa.
Mereka berkata kebanyakan pelanggan hanya tiba di pusat hiburan selepas tengah malam maka penutupan 1 pagi itu akan menjejaskan perniagaan mereka.
Jurucakap kumpulan itu, Roy Selvaraj memberi amaran, langkah yang diumumkan Kementerian Wilayah Persekutuan itu akan merugikan industri pelancongan.
Beliau berkata ramai bekerja di pusat hiburan untuk mencari pendapatan tambahan, termasuk kumpulan muzik dan artis, serta pengawal keselamatan, pelayan dan pelayan bar.
Selvaraj berkata pusat hiburan sebahagian budaya Kuala Lumpur, dan menambah ia dikawal selia dengan baik.
“DBKL mengawal selia pusat-pusat hiburan dengan baik. Jadi mengapa ubah peraturan yang berfungsi?” kata Selvaraj.
“Pusat hiburan bukan kelab malam sahaja. Ia juga termasuk tempat-tempat yang ada muzik secara langsung dan pentas, seperti resto-bar,” kata Suzianna Wong.
Wong, yang memiliki beberapa restoran/bar di Changkat, Kuala Lumpur berkata mereka sentiasa mematuhi peraturan.
“Jadi kami bimbang. Kalau kami tak peduli, kami akan beroperasi selepas 1 pagi,” katanya.
Menteri Khalid Samad baru-baru ini mengumumkan waktu operasi pusat hiburan yang diberi kebenaran untuk beroperasi sehingga 5 pagi untuk pelancong akan dikaji semula kerana mendapati ia membenarkan pelanggaan warga tempatan.
Mazlan Othman, pengarah Kumpulan Syarikat Estana, yang menguruskan kelab Arab dan Bollywood di ibu negara, berkata penutupan itu akan menyebabkan kelab-kelab malam ditutup.
Beliau berkata dalam sesi perbincangan dengan DBKL baru-baru ini, kebanyakan pengusaha kelab malam membantah cadangan tutup 1 pagi itu.
“Di Dubai, yang terletak di negara majoriti orang Islam, tidak ada peraturan seperti itu. Mereka ada perniagaan yang buka sehingga awal pagi,” katanya.
Kumpulan itu akan menyerahkan memorandum kepada DBKL minggu depan.