Kenapa terlalu lama bekukan harta Umno, soal Tajuddin Rahman

Veteran Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata, PH zalim kerana membekukan dana Umno.

PETALING JAYA: Veteran Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana membekukan hara milik parti itu untuk tempoh yang lama.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu menentukan dengan segera sekiranya benar dakwaan yang mengatakan dana parti itu mempunyai kaitan dengan 1MDB.

“Pakatan Harapan zalim kerana membekukan dana kami. Siasatlah segera. Kenapa mereka ambil masa terlalu lama?”

Beliau memberitahu FMT bahawa jelas kerajaan tidak adil kepada Umno yang mahu berfungsi sebagai sebuah parti pembangkang dan menjalankan peranan semak dan imbang sebenar sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi.

“Kenapa PH mahu menghukum kami? Untuk apa? Kami hanya meminta peranan kami dihormati.”

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu bimbang dengan kritikan pembangkang sekiranya ia menjalankan tugasnya dengan baik.

“Masalahnya, ia tidak yakin dengan dirinya sendiri,” kata beliau, dan menambah bahawa itulah sebabnya dana Umno disekat.

Sebelum ini, ketua Biro Undang-undang Umno, Datuk Seri Azalina Othman berkata, parti itu melantik satu pasukan peguam bagi menuntut semula wang miliknya berjumlah RM116.7 juta.

Pada Julai, pasukan petugas khas 1MDB berkata, sebanyak 408 akaun bank milik individu, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan jumlah kira-kira RM1.1 bilion dibekukan.

Tajuddin juga menempelak Ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu, dan menyifatkan mereka “rosak moral” kerana keluar parti yang mereka wakili dalam pilihan raya lepas.

“Sekarang, tidak ada wang ke? Jadi tinggalkan parti dan sokong kerajaan? Susah jadi pembangkang ke?

“(Mereka) hanya tahu bagaimana untuk berada dalam kerajaan,” kata Tajuddin, merujuk kepada 17 Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu setakat ini.