Amaran angin kencang, laut bergelora di Kelantan hingga Khamis

Orang awam dan nelayan dinasihatkan peka dengan amaran yang dikeluarkan dan mengelakkan sebarang aktiviti pantai. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama bagi perairan Pantai Timur bermula hari ini sehingga Khamis, 3 Januari 2019.

Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Zakaria ketika dihubungi berkata, angin kencang Timur Laut yang berkelajuan antara 40 hingga 50 km sejam dan ombak sehingga 3.5 meter itu merbahaya kepada bot kecil, serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Beliau berkata, disebabkan keadaan itu, orang awam dan nelayan dinasihatkan supaya peka dengan amaran yang dikeluarkan dan seboleh-bolehnya mengelakkan sebarang aktiviti pantai.

Nelayan khususnya yang menggunakan bot kecil diharap lebih berhati-hati keluar menangkap ikan ketika amaran masih berkuat kuasa, katanya.

Pada jam 11.30 malam semalam (29 Dis), Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 3 Jan ini.

Amaran kategori pertama itu turut melibatkan perairan Tenggara Samui, Selatan Condore, Selatan Palawan, Pulau Layang-Layang, Tioman, Selatan Reef North, Reef South, Labuan dan Bungguran.

Sementara itu, Amaran Cuaca Waspada yang dikeluarkan pada jam 5.30 petang, 28 Dis lepas meramalkan hujan lebat berlaku di Kelantan dan Terengganu mulai hari ini dan esok.

Antara kawasan yang dijangka berlaku hujan lebat di Kelantan ialah daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tumpat, Bachok dan Jeli.