Bekas pemimpin Umno Sabah mahu balas dendam melalui PPBM, kata pemimpin Warisan

Bekas pemimpin Umno Sabah berkeras mahu menyertai PPBM walaupun ditolak oleh rakyat negeri itu, kata pemimpin Pemuda Warisan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Warisan berkata, bekas pemimpin Umno di Sabah berkeras mahu menyertai PPBM walaupun mengetahui parti tersebut tidak dialu-alukan di negeri itu.

Exco Pemuda Warisan, Musliadi Mustafa berkata, bekas pemimpin Umno itu sedar rancangan mereka tidak disenangi oleh rakyat Sabah.

“Bagaimanapun, mereka mahu membalas dendam terhadap Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Sabah. Justeru, mereka tidak mempedulikan kritikan dan maruah diri sendiri asalkan dapat mengganggu kerjasama antara Warisan dengan PH Sabah,” katanya kepada FMT.

Pada 12 Dis lepas, puluhan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan senator Umno di Sabah keluar parti bersama-sama sekumpulan ketua bahagian yang lain.

Sehingga kini, mereka mengisytiharkan diri sebagai ahli bebas dengan spekulasi menunjukkan mereka bakal menyertai PPBM.

Dalam pada itu, PPBM menolak kebimbangan Warisan bahawa ia akan membuka cawangan di Sabah.

Walaupun majoriti bekas pemimpin Umno terbabit cenderung untuk menyertai PPBM, namun sebilangan mereka turut menimbangkan kemungkinan menyertai salah sebuah daripada 3 parti pembangkang di bawah Gabungan Bersatu Sabah (GBS), sementara yang lain mungkin mengikut bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang berura-ura menubuhkan sebuah parti baru.

Musliadi, yang menyifatkan bekas pemimpin Umno Sabah itu sebagai “terdesak” berkata, mereka akan terus melihat Warisan sebagai musuh.

“Bagi mereka, kedudukan mereka sekarang tidak mempunyai apa-apa makna. Kerjaya politik mereka telah berakhir. Oleh sebab itu, mereka bersedia berbuat apa-apa sahaja dengan mendesak pemimpin PPBM supaya masuk ke Sabah.”

Katanya, mereka juga tidak mempedulikan kritikan orang ramai.

“Mereka dilabelkan sebagai ‘katak’ dan ‘anjing’, tetapi mereka tidak peduli asalkan dapat membalas dendam.

“Di Sabah, di bawah slogan Sabah Baru, tidak ada lagi tempat untuk ahli politik seperti itu.

“Mereka ditolak dan rakyat Sabah tidak lagi mengharapkan mereka. Sesetengah mereka menang dalam pilihan raya kerana sokongan kuat jentera kerajaan,” katanya.

Musliadi mengulangi gesaan pemimpin Warisan supaya PPBM tidak memasuki Sabah, dengan berkata, kemasukan parti itu hanya akan memuaskan kehendak bekas pemimpin Umno di negeri tersebut.