Cabaran #TindanChallenge boleh jadi penyebab lumpuh

Cabaran #TindanChallenge boleh jadi penyebab lumpuh

Berbaloikah mengejar viral sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan anak anak?

Ibu bapa diingatkan supaya memastikan anak-anak tidak terjebak dengan cabaran media sosial terbaru yang dikenali ‘tindan challenge’.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebooknya, menyatakan, ibu bapa harus sedar anak-anak di fasa tumbesaran, tulang dan otot mereka masih lagi berkembang, dan cabaran ini boleh menyebabkan tulang mereka rapuh dan mudah cedera.

Merujuk kepada beberapa gambar foto yang mula dikongsi di laman sosial, ibu bapa membiarkan anak duduk secara bertindih antara satu sama lain di bahagian bahu.

“Bebanan di bahagian tulang belakang dan tengkuk menyebabkan mereka berisiko untuk mendapat kecederaan tulang belakang dan kecederaan saraf tunjang,” petik Facebook PDRM.

Risiko cabaran tindan:

1. Kemalangan dan jatuh merupakan antara punca utama kecederaan tulang belakang di kalangan kanak-kanak.

2. 20% kecederaan saraf tunjang dan tulang belakang berlaku kepada remaja dan kanak-kanak.

3. Insiden untuk menjadi kecacatan tulang bengkok (skoliosis) akan meningkat 90% sekiranya seseorang mengalami kecederaan semasa kanak-kanak.

4. Kanak-kanak lebih berisiko untuk lumpuh sekiranya alami kecederaan tulang belakang.

5. Komplikasi bagi kanak-kanak dan remaja yang mengalami kecederaan tulang belakang adalah lebih tinggi.

Laman Public Health Malaysia pula memetik reaksi seorang doktor pakar rehabilisasi yang bimbang melihat gambar #TindanChallenge di kongsi baru baru ini.

“Komplikasi dari kecederaan tulang belakang menyebabkan risiko lumpuh seumur hidup. Berbaloikah mengejar gambar viral sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan anak anak?”

Lebih baik beringat sebelum terjadi sesuatu yang tidak diingini. Jangan nanti, kerana terlalu galak mengejar ‘like’ dan ‘viral’, masa depan anak-anak jadi gelap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.