Ditikam rakan kerana tagih hutang

Gambar fail.

SIBU: Gara-gara menagih hutang lama berjumlah RM40,000 daripada rakannya, seorang lelaki ditikam menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Jalan Tekam hari ini.

Kejadian berlaku apabila rakannya yang berusia 48 tahun dan dikenali sejak 30 tahun lalu berjumpa dengan mangsa berhampiran Bulatan Aman dan kemudian membawa mangsa ke lokasi di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C ) Tiong Hin pada lebih kurang pukul 7 pagi.

Di situ mangsa berusia 47 tahun meminta suspek membayar hutang berkenaan untuk membiayai kos rawatan penyakit jantung dihidapinya di Institut Jantung Negara (IJN), Samarahan.

Namun suspek bertindak menikam mangsa yang tinggal di Jalan Wong King Huo dengan menggunakan senjata tajam ke bahagian dada kanan, kepala dan pipi kanan.

Ketua Polis Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan kejadian berkata, suspek yang tidak bekerja menyerah diri ke Balai Polis Pusat Sibu selepas itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.