Guna kerajaan: Rais Yatim, Pemuda PPBM bidas pendirian Rashid

Rais Yatim ditemui pemberita selepas ucapan Ab Rashid petang tadi.

PUTRAJAYA: Ketua PPBM Negeri Sembilan Tan Sri Rais Yatim hari ini membidas pendirian Naib Presiden Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berhubung penggunaan kekuatan kerajaan untuk pertahankan kemenangan.

Ditemui pemberita selepas ucapan naib presiden petang tadi, bekas menteri itu berkata dia tidak bersetuju dengan pendirian itu kerana ia bertentangan dengan prinsip kerajaan bertanggungjawab dan terus.

Beliau menegaskan atur gerak sumber kerajaan persekutuan ke negeri-negeri haruslah mengikut merit dan amalan yang mengikut proses undang-undang.

“Ucapannya dapat tepukan gemuruh tetapi tidak bagus untuk dilaksanakan. Idea itu tidak akan berjaya, ucapannya hanya mewakili individu dan bukan pandangan umum parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Ulya Aqamah Husamudin mengecam pendirian Rashid, mengatakan ia bukan pendirian parti.

“Kalau ada orang parti yang hendak masuk tender atau kontrak, masuklah. Anda akan diberi kalau cukup layak dan cukup merit. Kami tidak akan bertolak ansur dan tidak akan sesekali setuju dengan salahguna kuasa atau pemberian secara terus,” katanya.

Ulya berkata Pemuda PPBM akan memerangi gejala itu dari dalam parti.

“Kami harus ubah budaya dan pemikiran ini kerana kita ingin bergerak ke arah pemikiran dan pembinaan bangsa Melayu dan Malaysia yang baru dan berintegriti. Kami tidak akan berdiam diri.”

Petang tadi, Ab Rashid dalam ucapannya kepada perwakilan di mesyuarat agung tahunan PPBM terus terang mengatakan parti-parti pemerintah harus memastikan ketua-ketua bahagian mampu mempertahankan kawasan mereka daripada seteru politik.

Beliau berkata pimpinan parti wajar memberi “senjata”, iaitu bantuan dan sokongan, kepada ketua-ketua bahagian dan cawangan agar wakil-wakil parti itu boleh berkhidmat dengan lebih berkesan di kawasan masing-masing.

“Tidak usah cakap sombong, bahawa jangan rampas kerja orang, ambil itu dan ini. Bagi saya pandangan itu pandangan bodoh. Dalam pilihan raya, dengan apa cara sekalipun, kita mesti menang,” katanya disambut tepukan gemuruh dan sorakan para perwakilan yang berdiri.

Ucapan Rashid itu turut mendapat perhatian pemimpin DAP. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata “bodoh” sekiranya Pakatan Harapan mengulangi kesalahan kerajaan dulu.

“Ingat bahawa pengundi pada hari ini sudah bijak,” kata pemimpin DAP di Facebook.