Jangan taksub dengan permusuhan, Syed Saddiq rayu parti

Jangan taksub dengan permusuhan, Syed Saddiq rayu parti

Ketua Pemuda PPBM berkata penyokong Umno dan PAS adalah lawan politik tetapi mereka juga rakyat Malaysia.

PUTRAJAYA:
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu partinya jangan taksub dengan permusuhan sehingga lawan politik menjadi musuh di negara sendiri.

Beliau berkata walaupun penyokong Umno dan PAS adalah seteru politik PPBM, mereka juga rakyat Malaysia dan oleh itu perlu didekati dan dibantu sewajarnya.

Syed Saddiq menjawab ucapan seorang perwakilan parti pribumi itu yang mencadangkan agar PPBM tidak perlu menolong serta memberi ruang kepada penyokong pembangkang.

“Kita tak boleh taksub bermusuhan sampai ke tahap tak boleh berkawan dan membantu langsung orang Melayu yang mungkin tidak sefahaman dengan kita. Kenapa?” katanya kepada 1,200 perwakilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

“Memang mereka musuh politik kita tapi kita perlu ingat apa yang kita janjikan pada rakyat,” katanya pada sesi ucapan penggulungan Pemuda PPBM di mesyuarat agung tahunan parti itu sebentar tadi.

Syed Saddiq mengingatkan PPBM bahawa tindak tanduk mereka sebagai pemerintah terhadap pembangkang mempunyai kesan kepada masa depan negara.

Beliau berkata PPBM tidak patut menghukum penyokong parti lawan, kerana hakikatnya Malaysia milik semua orang dan bukan hanya penyokong parti pemerintah.

“Bayangkan kalau kita kalah pada pilihan raya akan datang. Adakah kita nak tindakan yang sama dikenakan kepada kita? Kita tak mahu,” katanya.

“Kalau ada seorang rakyat yang miskin, walaupun individu tersebut ahli Umno, tetapi kita tidak membantunya, ia dirasai oleh saya juga kerana dia rakyat sama seperti saya,” tambahnya.

Sementara itu, Syed Saddiq menegur ahli yang dilihat terdesak meminta kontrak kerajaan atau menjanjikan kontrak.

Beliau bertegas semua pemohon harus mengikuti proses sedia ada dan tidak melibatkan mana-mana menteri dalam usaha itu.

“Saya nak tegur sikit. Perwakilan Wilayah Persekutuan tadi sampai berani nak menamakan menteri yang menjanjikan kontrak. Itu boleh jadi kes rasuah. Janji kontrak, jumpa menteri, mana boleh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.