Maghribi tahan warga Swiss berkait pembunuhan 2 wanita Scandinavia

Maghribi tahan warga Swiss berkait pembunuhan 2 wanita Scandinavia

Louisa Vesterager Jespersen dari Denmark dan Maren Ueland dari Norway, ditemui mati berhampiran perkampungan Imlil di Pergunungan Atlas.

Lelaki yang ditahan itu juga disyaki “terlibat merekrut warga Maghribi dan sub-Sahara untuk melancarkan serangan pengganas di negara berkenaan.
RABAT:
Maghribi menahan seorang warga Switzerland berhubung pembunuhan 2 wanita Scandinavia, kata agensi anti-keganasan negara itu, semalam.

Louisa Vesterager Jespersen, 24, dari Denmark dan Maren Ueland, 28, dari Norway, ditemui mati pada 17 Dis lepas berhampiran perkampungan Imlil di Pergunungan Atlas.

Lelaki yang ditahan itu juga disyaki “terlibat merekrut warga Maghribi dan sub-Sahara untuk melancarkan serangan pengganas di negara itu terhadap sasaran asing dan pasukan keselamatan untuk merampas senjata mereka,” kata Biro Penyiasatan Kehakiman Pusat (BCIJ).

Ia berkata, individu berkenaan juga memegang kerakyatan Sepanyol dan menetap di Maghribi.

19 lelaki ditahan sebelum ini berhubung kes tersebut, termasuk 4 suspek utama yang mengisytiharkan kesetiaan kepada kumpulan Negara Islam (IS) dalam satu rakaman video yang dibuat 3 hari sebelum mayat pelancong itu ditemui.

Jurucakap polis dan perisikan domestik Boubker Sabik yang menyifatkan 4 lelaki itu sebagai “individu terpencil” berkata, “jenayah berkenaan tidak diselaraskan bersama IS”.

Berbanding negara lain di Afrika Utara, Maghribi umumnya terlindung daripada serangan militan.

Kejadian terakhir berlaku pada April 2011, apabila 17 orang terbunuh dalam kejadian pengeboman sebuah restoran di Marrakech.

Pada 2017 dan 2018, kerajaan Maghribi berkata, ia berjaya menumpaskan 20 sel militan yang merancang serangan di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.