Perwakilan PPBM mahu Tun M kekal PM hingga PRU15

Perwakilan PPBM mahu Tun M kekal PM hingga PRU15

Perkara itu diusulkan oleh perwakilan dari Kelantan pada sesi perbahasan ucapan dasar presiden PPBM pagi tadi.

Kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut dijangka dibuat oleh setiausaha agung PPBM, Marzuki Yahya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perwakilan PPBM mengusulkan supaya jawatan perdana menteri yang kini disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurut sumber, difahamkan perkara itu pada awalnya diusulkan oleh perwakilan dari negeri Kelantan pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, pagi tadi.

“Memang ada orang cadang. Tapi bukanlah sampai 8 perwakilan yang cadang. Tapi pertama sekali keluar dari Kelantan.

“Ini geng orang lama yang cadangkan,” katanya kepada media.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Zahid Mat Arip berkata, kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut akan dibuat oleh setiausaha agung parti, Datuk Marzuki Yahya.

November lalu Dr Mahathir berjanji bahawa jawatan perdana menteri yang disandangnya akan diserahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tempoh 2 tahun.

Sebelum itu beliau setuju menjadi perdana menteri kerana Anwar berada dalam penjara apabila kerajaan baru mengambil alih pentadbiran berikutan kemenangan Pakatan Harapan(PH) dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Saya berjanji tidak akan kekal lama sebagai perdana menteri. Mungkin 2 tahun, mungkin lebih, mungkin kurang,” katanya.

Anwar yang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh, Selangor, berikutan sabitan liwat bekas pembantu peribadinya dibebaskan serta-merta dan diberikan pengampunan penuh berikutan kemenangan PH itu, sekali gus membolehkan beliau kembali aktif dalam politik.

Pada 11 Mei, Dr Mahathir memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan memberi pengampunan tersebut ketika pertemuan dengan baginda pada istiadat angkat sumpah sebagai perdana menteri di Istana Negara sehari sebelum itu.

Perhimpunan PPBM yang bermula Jumaat lepas dijadualkan berakhir hari ini dan merupakan perhimpunan pertama parti itu selepas PH berjaya mengambil alih Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.