Apa azam tahun baru anda? Seperti biasa, tahun baru mesti ada azam baru.

Tidak mengapa jika ada azam tahun lepas yang tidak tercapai atau terhenti separuh jalan.
Menurut pakar, menetapkan resolusi atau azam tahun baru itu sendiri adalah satu kejayaan. Berjaya atau tidak anda memenuhinya itu perkara kedua.
Apa yang penting, usaha mencapai azam anda adalah sesuatu yang sangat positif!
Bagi 2019, FMT Ohsem sarankan 10 azam ‘mampu capai’ seperti yang disenaraikan CNN.
1. Kawal pengambilan makanan dan minuman manis

Mengawal bukan bermakna berhenti tetapi mengehadkan pengambilan. Mungkin 2019, anda boleh mula pesan teh o kurang manis ketika lepak bersama rakan.
Cuba elakkan minuman berkarbonat, jus paket dan kudapan manis yang mengandungi jumlah gula yang sangat tinggi.
2. Kini dan di sini
Anda terlalu dekat dengan gajet dan sukar melibatkan diri dengan ‘tugas’ sebenar?
Maka ambillah azam untuk kekal terlibat dalam sesuatu tugas tanpa gangguan alam maya.
Katakan anda bersama keluarga, fokus sepenuh hati pada mereka. Jika anda sedang membuat kerja, elak melihat laman sosial untuk tempoh waktu itu. ‘Kini dan di sini’!
3. Puasa
Tahukah anda berpuasa merupakan satu amalan kesihatan yang baik?
Lazimnya kita gagal mencapai tubuh badan ideal kerana tidak dapat mengawal pengambilan makanan. Jika anda berhadapan masalah itu, apa kata cuba berpuasa.
Pengarang Health and Wellness CNN, David G. Allan, cuba berpuasa atas nasihat seorang rakan. Beliau amalkan diet makan awal pagi dan makan sedikit lewat senja dan akui memperoleh banyak manfaat.
“Rasanya seperti latihan disiplin dan berat badan saya turun 5 kilogram,” tulisnya di CNN.
4. Kawal emosi
Emosi seperti marah, geram, kecewa, cemburu dan sifat negatif yang lain bukan sahaja tidak baik dalam hubungan sosial malah untuk kesihatan diri sendiri.
Jika anda seorang yang panas baran, cuba kawal emosi dengan mengingatkan diri mengenai hal-hal yang patut disyukuri. Mulai dari hal-hal kecil hingga sesuatu yang besar.
5. ‘Detoks’ media sosial
Kalau mahu menyahaktif atau menghentikan terus penggunaan media sosial mungkin tidak logik, sebaliknya beri ‘cuti’ pada hari-hari tertentu atau waktu-waktu tertentu agar anda dapat menjauhkan diri ketagihan media sosial.
6. Kurangkan gosip
Ramai yang boleh hidup tanpa makan minum tetapi bukan tanpa mengumpat pasal orang lain atau bergosip. Jadikan 2019 bebas gosip dan apa kata kita jaga tepi kain sendiri sahaja. Mungkin ia akan memberi lebih banyak ketenangan kepada diri anda. Tak percaya, cubalah sendiri.
7. Menyingkir barang tak terpakai
Jika anda ada barangan lama seperti pakaian, perkakas dapur atau peralatan elektronik yang tidak digunakan bolehlah diderma atau diberikan kepada orang lain dan jika ia rosak dan tidak boleh digunakan, singkir sahaja dari rumah anda.
8. Minimumkan penggunaan plastik
Selari dengan kempen antarabangsa dalam mengurangkan pencemaran plastik, apa kata anda juga pasang azam untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dalam urusan seharian. Latih diri dengan menggunakan bekas makanan sendiri atau bawa beg beli-belah ketika mahu membeli barangan.
9. Awasi pengambilan kalori
Sentiasa peka dengan apa yang dimakan dan elak pengambilan makanan berlebihan atau makan selepas kenyang. Sebaiknya berhenti semasa separuh kenyang.
Mungkin 2019, anda boleh mula mengira jumlah kalori yang diambil. Ia boleh dilakukan dengan mudah menggunakan pelbagai aplikasi yang terdapt di telefon pintar anda.

Lebih baik jika anda boleh bersenam 3 kali seminggu untuk kesihatan yang sempurna.
Memandangkan kebanyakan kerja memerlukan kita duduk berjam-jam, pilih untuk ‘berekreasi’ di antara waktu itu agar tubuh kekal sihat dan aktif.
Selamat mencuba dan selamat tahun baru 2019!