Pakar: Malaysia dipuji bertuah ada Sosma, Poca

Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata AS juga mewujudkan undang-undang pencegahan apabila gagal mengawal isu berkaitan keselamatan dan ancaman keganasan.

PETALING JAYA: Malaysia pernah dipuji sebagai negara yang bertuah kerana mempunyai undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca), kata pakar terorisme.

Ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri, Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, akta seperti Sosma dan Poca perlu dilaksanakan di Malaysia sebagai langkah mencegah jenayah berat dan mengelak negara berdepan risiko ancaman.

“Saya yang terlibat dalam rehabilitasi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Sosma dapat melihat betapa undang-undang pencegahan ini perlu dikekalkan, banyak kerosakan boleh berlaku jika buat dan hasrat tidak baik gagal dicegah dari awal lagi.

“Beberapa kerajaan tidak mempunyai undang-undang pencegahan menghadapi masalah besar dalam mengekang kegiatan radikal dan jenayah berat. Malah ada pihak luar mengatakan kepada saya betapa beruntungnya Malaysia kerana mempunyai undang-undang pencegahan.

“Malah Amerika Syarikat juga mewujudkan undang-undang pencegahan apabila gagal mengawal isu-isu berkaitan keselamatan dan ancaman keganasan,” katanya kepada FMT.

Mizan yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, beliau bersetuju dengan pendirian Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Sosma dan Poca dikekalkan.

Katanya, jumlah kadar jenayah besar berkurangan sejak Sosma dan Poca dilaksanakan mengantikan ISA.

“ISA sudah dihapuskan atas desakan kerajaan yang memerintah hari ini yang mana adalah merupakan suara pembangkang yang sangat relevan ketika memperjuangkan penghapusan ISA pada suatu masa dahulu, jadi jika kembalikan semula ISA, maka akan nampak satu tindakan yang tidak matang.

“Pengenalan Sosma bagi menggantikan ISA adalah langkah paling bijak yang diambil oleh kerajaan pada ketika itu dan ianya terbukti dengan penurunan yang signifikan terhadap kadar jenayah berat sejurus selepas penghapusan ISA pada sejak 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan tidak berhajat menghidupkan semula Akta ISA dan akan menggunakan undang-undang yang ada bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

Mizan berkata, hasil dapatan sebuah jawatankuasa yang dibentuk mendapati undang-undang seperti Sosma dan Poca itu penting dan harus dipertahankan walaupun mungkin memerlukan beberapa pindaan kelak.

“Jika undang-undang sedia ada tidak dipertahankan, akan wujud pihak yang berfikir mereka bebas untuk buat apa-apa sahaja yang boleh mengancam negara dengan menjadi gangster atau pengganas.

“Kerana itu kita pakai undang-undang yang ada dan kuatkuasakan sepenuhnya oleh polis dan pihak berkuasa yang lain,” katanya.

Pendirian Muhyiddin dibantah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah yang tidak bersetuju dengan hajat kerajaan yang mahu mempertahankan dan meminda undang-undang Sosma dan Poca.

Katanya, Sosma dan Poca adalah undang-undang yang “buruk” dan tidak boleh dipinda kerana undang-undang itu mengenakan penahanan tanpa perbicaraan.

Mengulas mengenai bantahan daripada pihak yang menuntut janji kerajaan menghapuskan Sosma dan Poca, Mizan berkata kerajaan perlu mengadakan rundingan serta dialog dengan mereka yang menentang.

“Kerajaan perlu memberikan penjelasan dan mengadakan dialog dengan kumpulan yang tidak berpuashati ini tentang kesan, sebab dan akibat penghapusan Sosma dan Poca ke atas keselamatan negara,” katanya.