Gambar Facebook

Pernah bekerja sebagai jurujual, buruh kilang, menjadi ‘runner’ malah berhenti belajar di universiti. Inilah liku-liku hidup yang dilalui pasangan suami isteri ini demi mengejar impian untuk membina empayar perniagaan sendiri.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan – begitulah yang dapat dikatakan mengenai pasangan muda, Joseph Goh Liang Hao, 23, dan isterinya Debbie Ching Zhee Cheng, 21, pengasas dan pemilik perniagaan mentega kacang ‘Jobbie Nut Butter’.

Segalanya bermula pada 2015, di mana mereka berkenalan ketika sama-sama bekerja sambilan di sebuah pasar raya.

“Ketika itu saya berusia 20 tahun dan Ching pula, 18. Saya baru diterima masuk ke program Sarjana Muda Psikologi di universiti tempatan, tapi berhenti separuh jalan kerana mahu mengejar impian untuk menjalankan perniagaan sendiri.

“Ching pula baru habis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membuat keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan sepenuh masa,” kata Goh yang mendirikan rumah tangga pada Ogos 2017.

Tanpa sebarang pengalaman, mereka membuat keputusan berani untuk memulakan perniagaan kerana yakin bahawa ketika usia muda adalah waktu sesuai untuk menimba ilmu dan seberapa banyak pengalaman berharga bagi merangka masa depan yang lebih cerah.

Bermula dari kosong

Menurut Goh, dalam usia semuda itu banyak yang perlu dipelajari dan cabaran yang lalui. Mereka membaca seberapa banyak artikel mengenai perniagaan secara dalam talian dan mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan lain yang berpengalaman.

“Pada peringkat permulaan, kami ditentang hebat oleh ibu bapa masing-masing, yang menganggap kami masih muda untuk berbuat demikian.

“Saya faham kerana semua ibu bapa mahu anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya ke peringkat universiti, barulah melangkah ke alam pekerjaan, begitu juga ibu bapa kami,” katanya kepada Bernama.

Menurut Goh masyarakat sering salah anggap bahawa golongan muda hanya sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ apabila berhasrat untuk memulakan perniagaan malah dikatakan mudah berputus asa di separuh jalan.

“Kami ingin buktikan bahawa kami bukan seperti kebanyakan golongan muda. Kami bekerja keras untuk membuktikan tanggapan itu salah,” katanya.

Mengimbas kembali ketika memulakan perniagaan, Goh berkata, “Kami bermula dari kosong, tidak tahu apa-apa dan tidak pernah berniaga, tiba-tiba mahu berniaga, sudah tentu kami buntu apa produk atau perkhidmatan apa yang laris dalam pasaran dan disukai ramai.”

Ikat perut

“Pada suatu hari, saya terbaca artikel yang menimbulkan persoalan apakah satu makanan atau barang yang kemungkinan akan dibawa jika dunia kiamat, ketika itu saya terus terfikirkan mentega kacang kerana ia tahan sangat lama, berkhasiat dan mudah dibawa ke mana-mana,” jelas Goh.

Lalu, mereka membuat keputusan untuk menghasilkan mentega kacang buatan sendiri sebagai produk pertama walaupun tidak ada pengalaman kulinari ataupun kemahiran memasak.

Goh berkata, untuk mengumpul modal perniagaan, mereka masing-masing melakukan pelbagai pekerjaan sambilan termasuk menjadi jurujual di pasar raya, ‘runner’ serta buruh kilang.

“Kami terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dengan melakukan pelbagai pekerjaan demi mengumpul modal, malah ada ketikanya terpaksa mengikat perut sehingga berjaya mengumpulkan kira-kira RM20,000 untuk memulakan perniagaan,” tambah Goh.

Sementara itu Ching memberitahu pada mulanya mereka mendapatkan resepi mentega kacang menerusi Youtube dan menghasilkannya dengan menggunakan peralatan dapur yang paling ringkas seperti ketuhar dan pengisar makanan.

“Asalnya nama mentega kacang kami adalah ‘Walao-eh’, ia senang diingati kerana kebanyakan golongan muda dan remaja selalu menggunakan perkataan ini apabila terkejut.

“Kami mula menjual ‘Walao-eh’ di kompleks beli-belah, stesen bas, stesen LRT serta membuka gerai dan ‘roadshow’ di karnival dan pasar malam,” kata Ching kepada Bernama.

Sukar dapat pelanggan

Ching mengakui tidak mudah untuk pikat pelanggan. Ada yang menyangka mereka ‘ulat gores dan menang’. Tidak kurang juga ramai yang menolak pelawaan untuk mencuba sampel mentega kacang kerana khuatir jika mengandungi ubat khayalan untuk cubaan menipu.

“Walaupun agak kelakar, hakikatnya memang sukar untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan, tapi kami tidak berputus asa malah menjadikannya sebagai dorongan untuk memperbaiki mutu dan cara pemasaran,” tambah beliau.

Lama kelamaan, pelanggan mula menerima ‘Walao-eh’ dan ada yang memberi komen serta idea bernas untuk meningkatkan mutu produk selepas mencubanya.

Selepas 6 bulan, ‘Walao-eh’ dipasarkan, Goh dan Ching membuat penjenamaan semula dengan menggabungkan nama mereka ‘Joseph’ dan ‘Debbie’ menjadi ‘Jobbie Nut Butter’, sekali gus memasarkannya menerusi media sosial.

“Semuanya kami lakukan sendiri, resipi, masak, pembungkusan, publisiti, menjual sehinggalah penghantaran dari pintu ke pintu,” katanya.

Selain persaingan produk mentega kacang jenama lain, mereka berdepan kesukaran dari segi logistik kerana terpaksa mengangkut bahan asas dan produk ke unit rumah pangsa di tingkat tiga yang disewa sebagai kilang mini sementara.

Selain itu, mereka menggunakan kenderaan awam untuk menghantar produk kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Empayar mentega kacang

Bercakap mengenai cabaran perniagaan Goh berkata, “Tipulah kalau katakan kami tidak pernah kecewa, malah hampir putus asa. Saya terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa menghantar stok kepada pelanggan.”

“Dua bulan terlantar di hospital. Ching menguruskan perniagaan dan menjaga saya. Dia menangis hampir setiap hari apabila melawat saya di hospital,” tambah Goh sambil menambah bahawa ketika itu mereka belum berkahwin.

Mengenangkan segala usaha sejak awal, mereka tidak mahu menanggung kerugian akibat berputus asa, lantaran saling menyokong untuk teruskan perniagaan itu.

Kini, pasangan itu sangat lega kerana segala kesukaran dan pengorbanan itu semakin mendapat sambutan mengalakkan dan memberi keuntungan selepas 3 tahun. Malah mereka sudah mempunyai kenderaan untuk menguruskan perniagaan itu dan beroperasi di sebuah lot kedai sebagai kilang.

“Kami mula melangkah ke pasaran antarabangsa apabila ada pelanggan tempatan yang menetap di luar negara seperti Kanada dan United Kingdom turut memasarkan produk kami kepada masyarakat di sana, malah kami juga menerima tempahan dari luar negara.

“Kami masih lagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan produk dari masa ke masa berdasarkan maklum balas pelanggan serta hasil maklumat daripada internet,” jelas Ching.

Goh turut memasang angan-angan untuk menjadikan ‘Jobbie Nut Butter’ sebagai empayar mentega kacang terkenal di Malaysia.

“’Think Big’, itulah misi dan visi kami ketika mula berniaga. Tidak mustahil untuk menjadikan angan-angan sebagai kenyataan jika sanggup bekerja bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa,” katanya mengakhiri perbualan.

Bagi menghargai sokongan pelanggan dan pembaca, pasangan ini menawarkan diskaun 15 peratus bagi setiap pembelian ‘Jobbie Nut Butter’ melalui https://www.jobbienutbutter.com/ dengan kod promosi ‘BERNAMA15’.