2 maut, 41 masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Sukabumi

Berdasarkan data rasmi, setakat ini 2 orang disahkan terbunuh, 3 cedera dan 61 ditempatkan di pusat pemindahan sementara. (Gambar Twitter)

JAKARTA: Dua disahkan maut manakala 41 orang dilaporkan masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Sukabumi, Jawa Barat, yang berlaku semalam.

Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata, pasukan mencari dan menyelamat masih berusaha mengesan mangsa yang tertimbus.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, satu petempatan di Dusun Garehong Desa Sirnaresmi, Kecamatan Cisolok Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat, melibatkan 30 buah rumah tertimbus akibat tanah runtuh.

“Berdasarkan pendataan BNPB setakat ini, 2 orang disahkan terbunuh, 3 cedera dan 61 orang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara,” katanya.