Nelayan dirompak kumpulan bersenjata di sempadan Malaysia-Indonesia

Mohd Amin Abd Hassan dan adiknya, Salleh dirompak di Laut Hand Rock, sempadan Malaysia-Indonesia, semalam.

KOTA KINABALU: Dua nelayan tempatan dirompak sekumpulan lelaki bersenjata di Laut Hand Rock, kira-kira 2 batu nautika melepasi sempadan perairan Malaysia-Indonesia, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata beliau menerima laporan mangsa berhubung rompakan itu yang berlaku pada 4.07 petang semalam.

Katanya, nelayan 2 beradik itu, Mohd Amin Abd Hassan, 35, dan Salleh Abd Hassan, 31, dari Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum di Semporna, dirompak ketika menangkap ikan di perairan itu.

“Pada jam 3.50 petang, mangsa dilaporkan melihat sebuah bot laju dinaiki 4 lelaki berpakaian biasa menuju ke arah mereka.

“Apabila suspek menghampiri mereka, salah seorang mengacukan senjata api ke arah mangsa dan mengarahkan mereka pergi ke depan bot supaya 2 lagi suspek boleh naik ke bot mangsa untuk memeriksa,” katanya kepada media hari ini.

Fadil berkata, 2 daripada suspek itu merampas telefon bimbit dan hasil tangkapan mangsa, sebelum melarikan diri ke arah Sungai Nyamuk, Indonesia.

Katanya, mangsa kemudiannya meminta bantuan daripada nelayan lain berdekatan mereka.

Beliau berkata, kes itu disiasat sebagai kertas inkuiri polis kerana kejadian itu berlaku di perairan Indonesia.