‘Saya mahu pakai kasut’, remaja hidap penyakit untut mahu kehidupan normal

Gara-gara terkena jangkitan gigitan nyamuk, seorang gadis di India menderita sepanjang hayat sehingga tidak mampu berjalan dan menjalani kehidupan normal seperti insan lain berikutan kakinya membengkak 3 kali ganda daripada saiz asal.

Keperitan yang dilalui Tawheeda Jan dari Jammu Kashmir bermula sejak kecil lagi apabila dia disahkan mengalami penyakit Lymphatic Filariasis atau lebih dikenali sebagai sakit untut.

Memetik laporan DailyMail, remaja berusia 21 tahun itu memberitahu, keadaan yang dialami membuatkan dia sukar menguruskan diri dan hanya menghabiskan masa di rumah.

Dia dilahirkan normal oleh ibunya namun kehidupannya berubah selepas digigit nyamuk yang dipercayai mempunyai parasit menyebabkan kakinya besar dan membengkak.

“Sebelum ini kaki tidak terlalu besar dan membengkak namun keputusan doktor memotong ibu jari bagi menghentikan pembesaran kaki menjadikan keadaannya lebih parah.

“Selepas memotong ibu jari, kaki saya semakin membesar sehingga 3 kali ganda,”katanya.

Bercerita lanjut, remaja itu menyatakan kesedihan hatinya kerana tidak pernah merasai memakai kasut sejak lahir walaupun mempunyai hasrat menggayakan pelbagai jenis kasut.

“Saya sangat teringin memakai kasut walaupun saya tahu impian itu tidak mungkin dapat dicapai,”ujarnya yang kecewa dengan tindakan doktor yang merawatnya.

Doktor yang merawat membuat keputusan memotong ibu jari kerana menyangka langkah itu dapat menghentikan pembesaran.

Kesukaran tersebut membuatkan Tawheeda terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu berjalan dan melakukan aktiviti seperti orang lain.