Singapura ikut Malaysia mansuh tol motosikal di LinKedua

Langkah memansuhkan kutipan tol bagi motosikal di plaza tol Tanjung Kupang memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk yang menggunakan laluan tersebut secara harian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Singapura akan mengikuti jejak Malaysia untuk memansuhkan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua (Second Link) Malaysia-Singapura dekat Gelang Patah, Johor.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, negara berkenaan mengambil maklum mengenai keputusan Malaysia berhubung perkara berkenaan dan akan memansuhkan tol berkenaan bermula 21 Jan tahun ini.

“Kami ambil maklum keputusan Malaysia memansuhkan bayaran tol bagi laluan motosikal di lebuhraya laluan kedua. Dasar lama Singapura adalah untuk menyamaratakan kadar tol ditetapkan Malaysia.

“Singapura akan ikut langkah menghapuskan tol motosikal di laluan kedua dari 21 Jan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemansuhan tol bagi motosikal berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan kos sara diri rakyat.

Sebelum ini, penunggang motosikal perlu membayar tol RM1.10 di Plaza Tol Tanjung Kupang, sejak LinKedua dibuka kepada pengguna sejak 1998.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, langkah memansuhkan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan tersebut secara harian.

“Mereka juga akan mendapat penjimatan kos di antara RM24.20 sehingga RM66 sebulan berdasarkan kiraan hari bekerja purata 22 hari atau 30 hari sebulan,” katanya.

Selain itu, tol bagi laluan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah turut dimansuhkan berkuatkuasa tengah malam tadi.

Pemansuhan bayaran tol bagi motosikal itu memberi manfaat kepada hampir 20,000 pengguna lebuh raya yang menggunakan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan 2,000 pengguna di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang menggunakan laluan tol berkenaan setiap hari.