Terengganu perkenal hotel patuh syariah, pekerja tutup aurat, larang arak, bikini

Pengerusi lembaga pengarah Paya Bunga Hotel Khairuddin Aman berkata, pendekatan patuh syariah tidak melibatkan hotel persedirian dan pemilik boleh menggunakan acuan sendiri selaras dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu memperkenalkan hotel patuh syariah pertama bertaraf 4 bintang yang menampilkan aspek pengurusan dan perkhidmatan yang lebih bercirikan Islam.

Pengerusi Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel Terengganu, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, hotel milik kerajaan negeri itu merupakan yang pertama diumumkan sebagai patuh syariah, yang bukan hanya melibatkan penyediaan makanan halal, tetapi merangkumi pengurusan hotel berlandaskan hukum syarak.

“Patuh syariah ini bertujuan menjadi identiti dalam semua aspek pekerjaan. Begitu juga hotel yang patuh syariah bermaksud segala aktiviti hotel berlandaskan hukum syarak.

“Ia bukan hanya melibatkan minuman halal dan haram tetapi melibatkan aspek pengurusan hotel, pengurusan akaunnya, kewangan, sumber manusia, pekerjaan, pakaian, layanan serta perkhidmatan kepada pelanggan.

“Pihak hotel turut meyediakan tempat salat berjamaah di surau dan kuliah oleh ustaz yang dilantik,” katanya kepada FMT sambil memberitahu kerajaan turut melantik ketua eksekutif syariah yang akan melapor terus kepada pengerusi bagi memastikan perjalanannya lancar.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, beberapa hotel lain milik kerajaan negeri juga mengamalkan patuh syariah tetapi tidak diisytiharkan secara terbuka.

Pekerja tutup aurat, larang arak, bikini

Khairuddin berkata, ciri patuh syariah lain yang diterapkan, termasuklah memastikan pekerja Muslim menutup aurat serta tidak menghidangkan minuman keras.

“Pekerja wanita yang beragama Islam kita minta supaya menutup aurat dan kita juga tidak menghidangkan minuman keras,” katanya.

Khairuddin berkata, pihak pengurusan tidak mendiskriminasi pekerja bukan Islam yang mahu bekerja di hotel tersebut.

“Kita menerima pekerja bukan Islam untuk bekerja, tidak ada masalah jika mereka layak dan bersedia mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Selain itu katanya, pelanggan juga tidak dibenarkan berbikini semasa melakukan aktiviti terbuka, termasuklah ketika berada di kolam renang, walaupun orang bukan Islam dibenarkan berpakaian biasa yang sopan.

“Pelanggan bukan Islam bebas berpakaian macam biasa mengikut cara mereka, cuma kita tidak benarkan mereka berbikini, mesti berpakaian sopan.

Beliau berkata, pihak hotel juga tidak memaksa pelanggan wanita beragama Islam memakai tudung, walaupun mereka dilarang berpakaian menjolok mata.

“Pakai sesuai dengan budaya Timur, kita tidak paksa mereka pakai tudung sebab itu hak mereka,” katanya merujuk kepada aktiviti di kolam renang.

Katanya, orang bukan Islam tidak perlu bimbang dengan pendekatan patuh syariah yang dilaksanakan kerana ia tidak bermaksud seseorang itu perlu memeluk agama Islam, malah mereka dialu-alukan untuk menikmati hospitaliti hotel yang patuh syariah sepenuhnya.

“Kita mengalu-alukan orang bukan Islam menikmati hospitaliti di sini sebab patuh syariah kita adalah terbaik untuk semua golongan, bukan orang Islam sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairuddin berkata, pendekatan patuh syariah tidak melibatkan hotel persedirian dan pemilik boleh menggunakan acuan mereka sendiri selaras dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan kerajaan negeri.