Memandangkan tahun 2018 sudah melabuhkan tirai untuk memberi ruang kepada tahun baru yang lebih mengujakan, terdapat beberapa trend kesihatan global yang didapati bakal popular. Ingin tahu apa yang hangat sekarang?

Berikut merupakan kompilasi 6 trend terkini daripada laman sesawang healthista:

Diet Eco-Keto

Diet ketogenic ialah diet rendah karbohidrat, yang boleh membantu membakar lemak dengan lebih berkesan. Istilah ‘keto’ merujuk kepada ‘ketone’, molekul yang dihasilkan badan untuk penghasilan tenaga apabila gula dalam darah rendah. Diet ketogenik telah pun melonjak naik dalam populariti disebabkan keberkesanannya untuk penurunan berat badan.

Diet eko pula menekankan diet vegetarian disebabkan kesedaran pengguna terhadap kesan rumah hijau daripada industri penternakan, yang dikatakan sama impaknya seperti pelepasan karbon daripada penggunaan kenderaan.

Oktober lalu turut menyaksikan pelancaran buku baru Vegan Keto oleh pakar pemakanan Amerika Syarikat, Liz MacDowell.

Studio mendayung

Beberapa tahun kebelakangan ini trend mengayuh atau ‘cycling’ dalam gim kian popular. Apatah lagi dengan kemunculan studio mengayuh yang fokus hanya untuk aktiviti ini secara intensif.

Tapi siapa sangka, aktiviti mendayung yang selama ini hanya boleh dilakukan dalam air kini dikhususkan sebagai aktiviti dalam gim. Studio mendayung juga mula muncul di beberapa negara dengan reka bentuk dalaman yang glamor seperti studio mengayuh.

November 2018 contohnya menyaksikan pembukaan studio mendayung pertama Britain yang disokong oleh pendayung Olimpik Matthew Tarrant.

Kebangkitan mesonutrien

Jika tahun 2018 adalah tahun kita belajar membezakan makronutrien (protein, lemak dan karbohidrat) daripada mikronutrien (vitamin dan mineral); tahun baru ini pula merupakan tahun obsesi mesonutrien.

Dalam bahasa Yunani, makro- bermakna besar, mikro- bermakna kecil dan meso- secara literalnya bermakna di dalam. Jadi, apa yang ingin diketahui sekarang bukan hanya makanan berkhasiat yang patut makan, tetapi bagaimana untuk mendapatkan lebih banyak sebatian aktif di dalam makanan yang menjadikannya begitu baik untuk anda.

Sebagai contoh, kurkumin adalah ramuan aktif dalam kunyit, dan banyak kajian menyatakan kurkumin mempunyai faedah anti-radang dan anti penuaan.

Kebanyakan kajian pada kunyit telah dilakukan pada subjek yang menerima sekitar 400mg kurkumin. Tetapi untuk mengekstrak 400 gram kurkumin dari kunyit, anda perlu mengambil sekitar 100 kilogram kunyit. Begitu juga, untuk mendapatkan dos kurkumin yang optimum dari serbuk kunyit kering, anda perlu menambah 10kg ke makanan anda.

Sekarang syarikat-syarikat pengeluar produk makanan kesihatan mula mengeluarkan mesonutrien seperti kurkumin berdos tinggi seperti yang didapati dalam kajian.

Tanin dalam teh hijau yang mempunyai manfaat antioksidan yang kuat dan terbukti bermanfaat juga merupakan mesonutrien yang mula dipasarkan dalam ekstrak dos tinggi .

Anthocyanin dan lycopene, antioksidan hebat dan saffronal merupakan contoh mesonutrien yang lain. Saffronal berasal dari saffron didapati mempunyai kesan antidepresan, mengurangkan selera makan dan meningkatkan libido.

Makanan menguatkan otak

2019 dikatakan sebagai tahun suplemen kognitif semula jadi. Didatangkan dalam bentuk minuman atau suplemen yang didakwa dapat menangani masalah seperti ingatan yang lemah, keresahan dan kekurangan tumpuan dan juga kemurungan.

Antara kandungan suplemen otak di pasaran mengandungi vitamin B6 berdos tinggi, magnesium, 5HTP, akar valerian dan herba rhodiola rosea yang membantu tubuh bertindak balas kepada tekanan.

Produk tersebut juga dikatakan menggunakan ujian gelombang otak semasa proses formulasi produk untuk mencuba prestasi produk.

Teknologi perhiasan pintar

Barangkali anda sudah biasa dengan alatan tracker pintar yang mengesan langkah, senaman anda, waktu tidur dan sebagainya. Tetapi, bukankah lebih baik jika alat tracker anda kelihatan seperti barang kemas yang cantik?

Kini syarikat pengeluar barang kemas turut bertindak mengeluarkan alat tracker yang berfungsi memantau tindak balas tekanan badan dengan mengesan kadar pernafasan, suhu kulit dan kadar denyutan jantung.

Kini barang perhiasan bukan sahaja menambah gaya, bahkan berfungsi sebagai peranti pengesan tekanan.

Terdapat pengeluar yang menyediakan barang kemas pintar khusus untuk wanita yang boleh mengesan tidur, tekanan, langkah, pembakarankalori dan kitaran haid anda.

Puasa dan lemak untuk penurunan berat badan

Diet keto dan diet puasa (Intermittent fasting) merupakan antara trend diet tahun 2018 yang digilai ramai kerana manfaat kesihatan dan penurunan berat badan.

Intermittent fasting boleh diamalkan dalam pelbagai cara, antaranya dengan melewatkan waktu sarapan untuk memanjangkan tempoh ‘puasa’ daripada malam hari.

Akan tetapi, kaedah ini menimbulkan masalah bagi mereka yang mudah moody akibat lewat bersarapan.

Jadi, memandangkan pengambilan lemak memainkan peranan dalam menurunkan berat badan seperti dalam diet keto, terdapat cadangan pengambilan lemak untuk menghilangkan rasa lapar sewaktu berpuasa.

Terdapat beberapa pengeluar yang menyediakan produk berlemak yang dapat menghilangkan rasa lapar tetapi tidak meningkatkan gula dalam darah.

Terdapat pelbagai lagi trend kesihatan yang bakal muncul pada tahun baru ini. Apa pun trend yang bakal anda ikuti, periksa dahulu manfaatnya secara kesihatan dan jangan mengikuti trend sekadar mengikut populariti semasa. Sebaliknya, amalkan apa yang terbaik untuk anda.

Artikel ini dibawa oleh hellodoktor.com