Wanita Indonesia ditemui mati dengan tangan diikat di Kajang

Pihak polis berkata, mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat dan mulut disumbat kain di sebuah rumah di Jalan Reko, Kajang dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah berkata, mayat wanita berusia lingkungan 30-an itu ditemui oleh majikannya yang datang ke rumah mangsa selepas dia tidak hadir bekerja selama 3 hari.

“Penemuan mayat itu dilaporkan oleh majikannya pada 6.24 petang semalam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, wanita itu bekerja di sebuah kedai perabot dan dilihat kali terakhir pada malam Khamis.

Mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya yang turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menghubungi pegawai penyiasat ASP Ismail Ahmad menerusi talian 019-2306107 untuk membantu siasatan.