15 maut dalam tanah runtuh di Jawa Barat

Pasukan mencari dan menyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tanah. (Gambar Twitter)

JAKARTA: Jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Sukabumi, Jawa Barat, meningkat kepada 15 orang.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan 20 lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan, diteruskan hari ini.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan 2 petang semalam kerana hujan lebat.

“Empat kejadian tanah runtuh susulan berlaku di kawasan itu semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian 5.30 petang Isnin lalu, sebuah penempatan di Dusun Garehong Desa Sirnaresmi Kecamatan Cisolok Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat, tertimbus akibat kejadian tanah runtuh.

Beliau berkata, 2 mangsa korban ditemui pada Isnin dan 13 lagi ditemui semalam dalam kejadian yang menimbus 30 rumah itu.

“Kawasan penempatan itu menempatkan 107 penduduk, 15 terkorban setakat ini dan 20 lagi dipercayai masih tertimbus,” katanya.