Bapa simbah air panas pada anak kerana habiskan makanan, kata polis

GEORGE TOWN: Kes kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang melecur disimbah air panas oleh bapanya dalam kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam, Khamis lalu, bukan disebabkan dia mencuri wang, tetapi kerana menghabiskan makanan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata berdasarkan siasatan polis, bapa kanak-kanak terbabit naik angin selepas mendapati makanan di rumah dihabiskan 4 anaknya yang berusia 3 hingga 9 tahun.

“Kejadian mangsa dikatakan mencuri wang ibunya sebanyak RM10 merupakan kejadian lama dan bukan punca sebenar suspek bertindak menyimbah air panas kepada mangsa sehingga melecur 3% di lengan, rusuk dan dada kanan,” katanya semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar, baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar, namun mendapati makanan yang disediakan isterinya berumur 38 tahun dihabiskan anaknya.

“Dia yang naik angin dan berang kerana lapar, bertindak mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu dan memarahi serta memukul mereka. Suspek juga bertindak menyimbah semangkuk air panas yang diambil dari mesin penapis air minuman di ruang tamu ke arah mangsa,” katanya.

Zaimani berkata, tindakan lelaki itu disaksikan isterinya, namun wanita terbabit bukan setakat melihat dan tidak menghalang perbuatan suspek, tetapi turut memarahi mangsa yang merupakan anak perempuan tunggal mereka.

Katanya, selepas kejadian itu, pasangan suami isteri itu melarikan diri dengan anak bongsu mereka kerana bimbang ditahan polis.

“Anak sulung serta anak ke-3 suspek kini di bawah jagaan nenek mereka, iaitu ibu kepada isteri suspek yang tinggal di flat sama. Polis giat mengesan suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Saga putih bernombor pendaftaran PCK 9818.”