Gambar Bernama

Walaupun anda seorang penuntut lemah dalam pelajaran, jangan ingat ia akan kekal sama selama-lamanya.

Berkat usaha dan menimba ilmu tanpa putus asa boleh mengubah pelajar lemah mana sekalipun cermelang dalam pendidikan atau apa sahaja bidang yang diceburi.

Sedangkan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akui terpaksa berusaha lebih gigih dari orang lain disekolahnya kerana beliau merupakan seorang pelajar yang lemah suatu masa dahulu.

Ini menjadikan beliau membuat ulang kaji atau membaca berulang kali menyebabkan agak ketinggalan, namun beliau tetap gigih untuk bersaing serta mengatasi penuntut lain.

Mengambil iktibar dari diri sendiri, Dr Mahathir berkongsi panduan belajar kepada murid-murid sebuah sekolah di Langkawi dalam ketika menghadiri program Back To School dan menyampaikan sumbangan berupa peralatan sekolah tajaan Bank Muamalat.

“Rahsia kita yang kurang kebolehan mudah saja, kita kena rajin, kita kena buat lebih daripada orang lain. Kita tahu kalau kita buat sesuatu berulang kali, kita akan jadi cekap. Kalau buat sekali saja, tak jadi, kena buat berkali-kali,” katanya dalam lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kedawang Langkawi.

“Oleh kerana saya sedar saya bukan penuntut terbaik, saya bersaing dengan penuntut yang paling baik, saya terpaksa berusaha lebih daripada penuntut lain.

“Oleh kerana saya ketinggalan, saya bukan penuntut terbaik, saya perlu kejar penuntut lain. Kalau penuntut lain baca buku sekali atau 2 kali, saya baca 10 kali,” katanya.

Benar juga kata beliau, jika anda lemah, maka kenalah rajin berusaha beberapa kali ganda untuk mengejar pelajar pandai. Kalau Dr Mahathir pun mengaku pernah lemah dan berjaya guna teknik tersebut, ia pasti akan berhasil kepada kita. Cubalah!