Menteri: Tak perlu panik gesaan beri kontrak pada ketua bahagian

Gesaan seorang pemimpin PPBM untuk tidak mengabaikan ahli parti pemerintah dalam pemberian projek kerajaan mencetuskan debat mengenai tadbir urus baik.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PPBM menasihatkan pihak berkaitan tidak perlu panik dengan gesaan Naib Presidennya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang membangkitkan persoalan berhubung komitmen untuk menghapuskan kronisme dan amalan memperkayakan diri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Seri Redzuan Yusof yakin Rashid yang menggesa kerajaan tidak mengabaikan ketua bahagian dalam pengagihan kontrak, sedar langkah pencegahan dilaksanakan Pakatan Harapan untuk menghalang budaya lama ahli politik memperkayakan diri menerusi hubungan mereka dengan parti pemerintah.

“Rashid mahu kami menerima realiti ketua bahagian ialah kunci untuk mengekalkan sokongan akar umbi,” kata menteri pembangunan usahawan itu kepada FMT.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam perhimpunan agung tahunan parti itu yang berakhir Ahad lalu memberi amaran kepada ahli yang meminta jawatan dan kontrak kerajaan.

Datuk Seri Redzuan Yusof

Ia disusuli ucapan Rashid yang secara terbuka menggesa kerajaan tidak mengabaikan ketua bahagian dalam pemberian kontrak kerana mereka diperlukan untuk mengekalkan jentera parti dan memenangi pilihan raya.

Katanya, pimpinan parti wajar memberi “senjata”, iaitu bantuan dan sokongan kepada ketua bahagian dan cawangan untuk berkhidmat dengan lebih berkesan di kawasan masing-masing.

“Tidak usah cakap sombong, bahawa jangan rampas kerja orang, ambil itu dan ini. Bagi saya pandangan itu pandangan bodoh. Dalam pilihan raya, dengan apa cara sekalipun, kita mesti menang,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh dan sorakan perwakilan.

Sejak itu, ada pihak yang menyokong dan mengkritik Syed Saddiq.

Redzuan mengingatkan pengkritik Rashid untuk menilai ucapannya dalam konteks pembentukan PPBM.

Katanya, ramai pemimpin bahagian Umno mengambil risiko kewangan besar dengan menyertai parti baru itu, walaupun tahu mereka akan dihukum.

“Ini adalah orang yang berkorban demi parti dengan mengetahui PPBM ditubuhkan untuk menghapuskan budaya Umno, jadi hujah mengenai integriti dan ketelusan agak tidak kena pada tempatnya,” kata Redzuan merujuk pengkritik memberi amaran kepada PPBM yang sedang berubah menjadi “klon” Umno.

Pengerusi PPBM Melaka itu berkata, apa yang ditekankan Rashid ialah peluang sama rata diberikan kepada semua ahli perniagaan, tidak kira mereka ada hubungan dengan parti pemerintah atau sebaliknya.

“Perdana menteri sendiri kata kontrak kerajaan akan diberikan secara adil berdasarkan merit, jadi kebimbangan itu adalah tidak wajar.”

Beliau turut mencadangkan dokumen perlindungan seperti Deklarasi Kepentingan dan Konflik Kepentingan ditandatangani pemberi tender “sebagai cara menggalakkan keterangkuman dan keadilan dalam mencari pendapatan bersih”.

Katanya, tidak timbul soal komitmen PPBM memerangi amalan rasuah untuk menggalakkan tadbir urus baik.

“Tetapi, ini tidak bermakna kami akan mendiskriminasi ketua bahagian dan ahli politik. Ramai daripada mereka papa kedana kerana mempertahankan prinsip mereka dan menentang rejim terdahulu. Pun begitu, kami akan menilai mereka berdasarkan merit kerana itu janji kami.

“Kami mempunyai SOP, proses, prosedur kawalan untuk menegakkan tadbir urus serta mengelakkan amalan rasuah.”