Pemuda PPBM pertahan Syed Saddiq, ingatkan ahli elak jadi pengemis kontrak

Pemuda PPBM mempertahankan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang digulingkan, selepas memberi amaran kepada ahli parti yang meminta jawatan dan kontrak kerajaan.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM hari ini mempertahankan Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada cubaan menggulingkannya oleh beberapa ketua bahagian kerana membidas ahli yang meminta jawatan dan projek kerajaan.

Hannaan Khairy

Exco Pemuda PPBM, Hannaan Khairy berkata parti itu perlu berubah atau bakal mengalami nasib sama dengan Umno, jika memberi kontrak kepada mereka yang tidak layak dan meneruskan amalan rasuah serta politik wang.

“Pemuda PPBM menjadi ‘check and balance’ dalam parti. Semua pihak dalam PPBM boleh bersuara, Syed Saddiq menegur selaku orang muda yang sayangkan parti.

“Beliau memegang kuat prinsip PPBM, beramanah dan bermaruah. Jadi, apa salahnya dengan teguran beliau itu? Kesilapan yang berlaku ketika zaman Umno, usah kita ulangi, belajar daripada sejarah.

“Umno terkubur dalam pilihan raya lepas kerana inilah salah satu faktornya, rasuah yang berleluasa juga hadir daripada sistem sebegini,” katanya kepada FMT.

Hari ini, seorang pegawai PPBM berpangkat tinggi memberitahu FMT “sekumpulan kecil” ketua bahagian yang bersuara lantang mahu Syed Saddiq digulingkan kerana membidas perwakilan yang meminta kontrak dan jawatan dalam kerajaan.

Katanya, Syed Saddiq bersama beberapa pemimpin PPBM lain cuba melindungi parti daripada ketua bahagian terbabit yang didakwa cuba mencari dana bagi pemilihan parti kerana tahu mereka akan “disingkirkan”.

Ahad lalu, Syed Saddiq dalam perhimpunan agung tahunan PPBM membidas perwakilan Wilayah Persekutuan kerana meminta kontrak dengan menamakan seorang menteri yang didakwa berjanji akan memberikan kontrak.

Ia disusuli ucapan Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang secara terbuka menggesa kerajaan tidak mengabaikan ketua bahagian dalam pemberian kontrak kerana mereka diperlukan untuk mengekalkan jentera parti dan memenangi pilihan raya.

Berambus jika bantah agenda pembaharuan PPBM

Ashraf Mustaqim

Seorang lagi exco PPBM, Ashraf Mustaqim menyifatkan cubaan menjatuhkan Syed Saddiq sebagai angan-angan Mat Jenin dan mereka yang menentang agenda pembaharuan dengan meminta jawatan serta kontrak kerajaan perlu berambus dari parti itu.

“Pemuda PPBM semestinya bersama Syed Saddiq. Andai ada yang khianat akan agenda pembaharuan ini, maka mereka tidak layak bergelar Pemuda PPBM dan boleh berambus atau nyah diri daripada perjuangan murni ini demi Melayu kembali menjadi gah atas kemampuannya, bukannya pengemis kebendaan, kontrak.”

Katanya, gerakan menjatuhkan Syed Saddiq tidak akan berjaya kerana ketua bahagian tidak layak mengundi dalam sayap itu.

“Perlu ingat ketua-ketua bahagian tidak boleh bagi undi kepada sayap Pemuda PPBM, hanya ahli Pemuda PPBM sendiri sahaja yang boleh mengundi.

“Tetapi, bahagian perlu ingat mereka perlu sokongan Pemuda PPBM di segenap peringkat demi kelangsungan mereka seperti yang ditekankan dalam ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad.”

Ashraf berkata, PPBM tidak mewarisi DNA Umno dan ahlinya tidak mudah digelapkan mata dengan kontrak kerajaan.

Katanya, hanya mereka yang layak dan menggunakan saluran betul boleh mendapat kontrak kerajaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah Husannudin berkata sayap itu sedia “melawan” mana-mana kumpulan yang cuba menjatuhkan Syed Saddiq kerana menentang salah laku pemimpin parti membawa budaya Umno.

Katanya, perbezaan pendapat bukannya bukti PPBM semakin lemah menuju kehancuran.

“Orang ramai kena faham tidak ada perpecahan, kita kena lihat dalam kaca mata lebih besar, Pemuda PPBM kena jadi sayap semak dan imbang, jadi bila ada perbezaan, itu menunjukkan parti lebih kuat.

“Kalau teguran yang dibuat kepada pimpinan akan diambil tindakan, itu tidak patut. Dulu dalam Umno macam itu, tapi kita berani lawan sebab kita sayang, kita tengok Umno senyap macam tidak ada isu, tapi lihat apa jadi.”

Beliau berkata, kenyataan Rashid berhubung pemberian kontrak perlu diraikan, tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana ada banyak cara lain untuk memperkukuhkan parti.