Perlu pinda perlembagaan lupus kuasa pendakwaan Peguam Negara, kata peguam

Peguam berkata, pelupusan kuasa pendakwaan peguam negara tidak memadai dengan meminda Kanun Acara Jenayah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peguam membalas hujah bahawa fungsi peguam negara dan pendakwa raya boleh dipisahkan dengan meminda Kanun Acara Jenayah dengan berkata, pemisahan kuasa itu memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada FMT, mereka berkata, ini kerana perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.

Apa-apa pindaan ke atas undang-undang persekutuan adalah tidak mencukupi dan terdedah kepada cabaran undang-undang kerana bercanggah dengan perlembagaan, kata mereka.

SN Nair berkata, Perkara 145 (3) mesti dipinda bagi membolehkan peguam negara melepaskan kuasa pendakwaan beliau.

“Penurunan kuasa ini tidak boleh dilakukan dengan meminda Kanun Acara Jenayah, yang akan dianggap tidak boleh dipertahankan (dari sudut undang-undang),” katanya.

Cadangan meminda Kanun Acara Jenayah dibuat oleh peguam Syed Iskandar Syed Jafaar Al-Mahdzar, yang berkata, kuasa pendakwaan peguam negara boleh dilupuskan dengan meminda Seksyen 376 kanun tersebut.

Syed Iskandar mencadangkan Kanun Acara Jenayah dipinda untuk menyebutkan bahawa pendakwa raya mempunyai kuasa ke atas semua pendakwaan dan prosiding jenayah.

Di bawah pindaan itu katanya, peguam negara akan dianggap telah melepaskan kuasanya untuk selama-lamanya kepada pendakwa raya di bawah Perkara 145 (3) perlembagaan.

Beliau berkata, hal ini dibenarkan di bawah undang-undang am.

Bagaimanapun Nair, yang bersetuju dengan pandangan umum bahawa peguam negara perlu melepaskan kuasa pendakwaan beliau kerana wujudnya konflik kepentingan berkata, langkah meminda Kanun Acara Jenayah semata-mata akan mengundang cabaran undang-undang.

“Pindaan Kanun Acara Jenayah atau mana-mana undang-undang persekutuan semata-mata tidak mencukupi kerana kuasa peguam negara diberikan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah perlembagaan,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya membentangkan pindaan perlembagaan, dengan berkata, pihak pembangkang juga menyuarakan sokongan mereka kepada perkara yang baik untuk rakyat.

Dalam pada itu, Abd Shukor Ahmad berkata, peguam negara tidak boleh mewakilkan kuasa pendakwaannya kerana menurut perlembagaan, beliau mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan mana-mana prosiding jenayah di bawah Perkara 145 (3).

Beliau mencadangkan Malaysia mencontohi Kenya yang meminda perlembagaannya pada 2010 bagi mengkhususkan fungsi peguam negara dan pengarah pendakwa raya.

Pada masa ini, peguam negara mempunyai 2 peranan yang terpisah dan berbeza di bawah perlembagaan, iaitu sebagai pendakwa raya dan penasihat undang-undang utama kerajaan.

Berikutan kemenangan PH dalam pilihan raya umum lepas, kedengaran gesaan supaya 2 fungsi itu dipisahkan bagi mengelakkan konflik kepentingan.