Persidangan kebangsaan Orang Asli 11 Jan depan bincang tindakan proaktif, kata Waytha Moorthy

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, satu pelan tindakan induk berkenaan masyarakat Orang Asli akan dibentangkan kepada Kabinet untuk pengesahan.

KUALA LUMPUR: Satu persidangan Orang Asli peringkat kebangsaan akan diadakan pada 11 Jan depan bagi membincangkan cadangan serta tindakan proaktif dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi 200,000 orang masyarakat itu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata, persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia melibatkan penyertaan pemimpin masyarakat Orang Asli, masyarakat sivil dan ahli akademik.

“Persidangan akan didahului dengan perbincangan meja bulat pada 6 Jan untuk mengenal pasti isu utama yang dihadapi masyarakat itu, termasuk hak tanah, akses infrastruktur, pendidikan, jurang digital dan pemerkasaan belia.

“Penemuan serta resolusi daripada persidangan kebangsaan ini akan dibawa kepada masyarakat Orang Asli untuk pendapat mereka dan selepas itu suatu pelan tindakan induk akan disediakan untuk dibentangkan kepada Kabinet bagi pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada 1 Jan supaya satu persidangan Orang Asli peringkat kebangsaan diadakan untuk merumuskan pelan tindakan bagi menaikkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Waytha Moorthy yakin persidangan itu dan pelan tindakan Orang Asli yang akan digubal nanti dapat menangani isu-isu yang sekian lama dihadapi oleh masyarakat tersebut, sekali gus memenuhi janji manifesto pilihan raya kerajaan Pakatan Harapan kepada masyarakat Orang Asli.