Sepanjang beberapa hari sesi persekolahan bermula di Malaysia pasti ramai ibu bapa yang berat hati meninggalkan anak apatah lagi yang masih meragam. Ia pastinya menjadi detik penuh mencabar bukan sahaja kepada ibu bapa dengan anak pertama kali masuk sesi sekolah malah ada sudah 2 atau 3 tahun pun masih buat hal.

Ada sahaja kanak-kanak yang duduk di kelas dengan airmata berlinangan, teresak-esak dan ramai juga yang masih melalak minta ditemani ibu bapa.

Kepada ibu bapa, jangan panik atau marah, kerana anda sebagai ibu bapa perlu tenang mengendalikan situasi ini .

FMT Ohsem ada 5 tips ini untuk ‘mendamaikan’ anak menangis setiap hari ke sekolah:

1. Beri mereka semangat positif

Bercakap dengan anak anda mengenai keseronokan bersekolah. Keberadaan guru dan kawan-kawan yang ramai. Ketahuilah, anak-anak pasti akan terpengaruh dengan semangat positif yang diberikan.

Sekiranya mereka masih takut ke sekolah, beri mereka keyakinan dan tenangkan mereka terlebih dahulu. Pastikan ada satu lokasi yang selesa untuk anda dan anak, janji bahawa anda sentiasa bersama mereka semula selepas tamat persekolahan.

2. Guru adalah rakan anda

Jadikan guru sebagai rakan di alam pendidikan. Jangan menolak untuk berkongsi maklumat mengenai anak anda kepada mereka. Ia akan membantu anak anda menyesuaikan diri di alam persekolahan yang baru. Ia membantu guru tersebut mencari teknik yang boleh digunakan untuk menenangkan pelajar mereka ketika sedang menangis.

3. Beri mereka momen rumah di sekolah

Jika anak anda mempunyai momen yang indah di rumah bersama keluarga contohnya gambar keluarga, simpanlah bagi mengelakkan mereka rasa terasing. Benarkan mereka membawa lukisan/gambar atau barangan lain yang mempunyai nilai sentimen supaya mereka lebih tenang.

4. Cipta momen berharga ketika meninggalkan mereka

Jika anda mencipta detik perpisahan yang dapat membuat mereka tenang contohnya seperti memberi ciuman istimewa, peluk atau bersalaman. Ia akan membuatkan mereka rasa selamat untuk pergi ke sekolah tanpa berasa takut.

5. Jadikan ‘Goodbye’ ringkas tetapi sweet

Memanglah susah untuk mengucapakan selamat tinggal kepada si kecil anda di sekolah, tetapi anda perlu menjadi ibu bapa yang tabah dan bertanggungjawab. Jangan sesekali menangis di hadapan anak, senyum dan lambai serta tunjukkan muka anda yang yakin. Insya-allah, semuanya akan berjalan lancar. Selepas hantar anak, ibu bapa tidak dibenarkan mengintai anak di sekolah.

Kepada ibu bapa, tidak salah anda melindungi mereka, tetapi biarkan mereka belajar berdikari. Ingat, anda tidak mampu untuk memimpin tangan mereka selamanya.