Eksekutif kanan insurans selama 18 tahun beralih jadi pengusaha cili

PETALING JAYA: Seorang eksekutif kanan insurans perubatan meninggalkan kerjayanya selama 18 tahun untuk mencuba nasib dengan menanam cili disebabkan tekanan dan mahu mempunyai lebih banyak masa bersama anaknya.

Nizam Kamarudin, 45, pernah bertugas di ibu pejabat sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur sebelum mengusahakan tanaman “cili padi” yang dikenali sebagai cili kampung di Kampung Tembesu Limbat, Kota Bharu, Kelantan, pada April 2017 bersama adik iparnya.

“Saya uruskan projek di pejabat dan buat sistem pengukuhan…tekanan dan bosan punca utama (tukar kerja).

“Selama 20 tahun sibuk…keluar pagi, balik malam dan anak-anak pun sudah tidur. Jadi, saya nak tebus masa bersama anak-anak. Lagipun mereka semakin membesar,” katanya kepada FMT.

Nizam berkata, beliau memilih untuk bertani kerana arwah bapa mertuanya meninggalkan tanah pusaka seluas setengah ekar.

“Daripada terbiar, lebih baik diusahakan. Kos beli atau pajak tanah tidak ada.

Nizam Kamarudin memasarkan cili yang ditanamnya di sekitar pasar borong Kota Bharu, Kelantan.

“Kami memilih cili kampung sebagai tanaman utama kerana harga cili kampung tidak jatuh banyak dan agak stabil di Kelantan. Lagipun, permintaannya banyak kerana cili kampung lebih pedas,” katanya yang mengeluarkan modal RM60,000 untuk mengusahakan tanaman itu.

Beliau yang sudah menanam kira-kira 5,000 pokok cili, menjangkakan 3 hingga 4 tan cili dapat dituai dan dijual sehingga musim berbuah berakhir.

“Anggaran (pendapatan) sebulan dalam RM1,500 sekarang disebabkan buah pertama tidak lewat lagi. Kena tunggu akhir musim baru boleh tahu.

“Cili kalau dijaga rapi, cukup baja, air dan meracun mengikut jadual boleh dapat hasil sehingga maksimum 5 bulan.

“Harga cili pasaran sekarang RM15 sekilogram. Cili mula dialihkan ke polibeg Ogos tahun lepas…jadi kami boleh tuai hasil sehingga Mac tahun ini.”

Nizam berkata, cili itu dipasarkan di sekitar pasar borong Kota Bharu dan beliau bercadang menanam bendi.

Beliau juga berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat membantunya dari segi kos baja dan racun.