Pinda laporan audit 1MDB: Kes Najib, Arul Kanda didengar bersama

Arul Kanda Kandasamy (tengah) didakwa di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan bagi kes meminda laporan audit 1MDB yang membabitkan bekas pegawai eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy didengar bersama bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Permohonan itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya secara fiat, Datuk Seri Gopal Sri Ram di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Beliau didakwa bersubahat dengan Najib dalam kesalahan itu yang dikatakan berlaku di Pejabat Perdana Menteri antara 22 dan 26 Februari 2016.

Arul didakwa di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000.

Kes Arul pada mulanya disebut di depan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, sebelum dipindahkan ke mahkamah Azura.

Gopal turut memohon tarikh sebutan kes itu ditetapkan pada minggu pertama Mac nanti dan pihak pendakwaan akan memhon kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Katanya, dokumen berkaitan akan disediakan ketika itu.

Peguam Arul, Datuk N Sivananthan tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Azura kemudiannya menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes itu.

Najib dan Arul masing-masing diikat jamin RM500,000.

Najib yang diwakili Muhammad Farhan Shafee, didakwa atas pertuduhan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000.