Ahli Parlimen Umno kritik pelantikan pemimpin PPBM ketuai GLC

Khairy berkata, PH mungkir janji sejak 10 Mei tahun lalu lagi.

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen Umno hari ini mengkritik pelantikan pemimpin PPBM untuk menerajui badan berkaitan kerajaan (GLC) yang diumumkan Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, apa-apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umumnya jelas tidak semestinya ditunaikan.

“Banyak ‘U-turn’, boleh ubah-ubah. Dulu dia buat janji sebab nak menang pilihan raya, dah menang pilihan raya suka dialah, tunai janji ke tidak bila dah berkuasa.

“Bukan ada rasa malu, ada rasa tanggungjawab kepada pengundi dan rakyat tentang janji itu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam Rina mengumumkan pelantikan Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Sukiman Sarmani dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi yang masing-masing akan menerajui Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara) dan Mara Corporation Sdn Bhd.

Turut dilantik ialah peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah untuk mengetuai Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata pelbagai janji lain dibuat oleh PH yang tidak ditepati.

“Kita pun tak rasa hairan mengenai perubahan ini. Jadi perkara biasa bagi mereka dan tak ada tanggungjawab moral,” katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pula menyindir PH berhubung pelantikan Sukiman dan Akhramsyah.

Menurutnya, PH memungkiri janji yang dibuatnya sejak 10 Mei tahun lalu lagi.

“Tidak akan ada lantikan politik oleh PH dalam syarikat kerajaan (GLC).

“Malaysia Baharu…mungkiri janji sejak 10 Mei, 2018,” katanya dalam satu pesanan di Twitter.

Dalam pengumumannya semalam, Rina berkata, beliau mencadangkan 3 nama itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyetujuinya.

Haniff merupakan graduan London School of Economics dan berkhidmat sebagai peguam selama 27 tahun.

Sukiman yang merupakan bekas timbalan naib canselor Uiversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah lulusan University of Reading dan UKM. Beliau merupakan pakar kimia dan sains nuklear.

Akhramsyah, adalah anak bekas menteri Kabinet, Tan Sri Sanudi Junid, dan merupakan jurutera kimia.