Anak Sanusi Junid dilantik pengerusi Mara Corp

Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Anak kepada bekas menteri besar Kedah, Tan Sir Sanusi Junid dilantik sebagai pengerusi di syarikat pelaburan milik Majlis Amanah Rakyat, Mara Corporation Sdn Bhd, kata Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Nama Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi diumumkan oleh Menteri Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam kenyataan malam tadi.

Mempunyai 16 tahun pengalaman sebagai seorang jurutera kimia, Akhramsyah juga seorang konsultan pengurusan di syarikat petroleum antarabangsa terkemuka.

Beliau adalah lepasan Maktab Rendah Sains Mara di Balik Pulau, Pulau Pinang dan memegang ijazah sarjana kejuruteraan kimia dari Imperial College London, United Kingdom.

“Pengumuman ini dibuat selepas cadangan menteri mendapat persetujuan daripada perdana menteri,” kata Rina.

Menteri juga mengumumkan pelantikan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), dan pakar sains nuklear, Datuk Sukiman Sarmani sebagai pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara).

Haniff mempunyai 19 tahun pengalaman sebagai peguam dan pemegang ijazah sarjana dari London School of Economics, UK.

Sukiman memperoleh gelaran daripada Universiti Reading, UK dalam bidang radiokimia dan juga lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia.