Bomba: Cecair asid nitrik tumpah di kilang hasil komponen komputer

Jabatan bomba dan penyelamat mengambil masa lebih 4 jam untuk meneutral dan membersihkan tumpahan asid nitrik itu, semalam. (Gambar Facebook)

MELAKA: Kira-kira 500 liter cecair asid nitrik tertumpah ketika dalam proses pemindahan di sebuah kilang pembuatan komponen komputer di Taman Teknologi Cheng di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Zulkifli Nordin berkata pihaknya mengambil lebih 4 jam untuk meneutral dan membersihkan tumpahan bahan kimia itu menggunakan “soda ash” sebelum operasi tamat sepenuhnya kira-kira 1.09 pagi tadi.

Beliau berkata, tumpahan asid nitrik berkenaan perlu dikumpulkan terlebih dahulu sebelum proses pelupusan dilakukan.

“Kita menerima panggilan kecemasan berkaitan tumpahan bahan kimia itu kira-kira 7.52 malam tadi dan menghantar sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kubu, Unit Perkhidmatan Kecemasan Perubatan dan Menyelamat serta Unit Gerak Cepat Bermotosikal melibatkan 15 keanggotaan bergegas ke tempat kejadian dan tiba 15 minit kemudian.

“Apabila kita tiba di tempat kejadian, memang benar terdapat tumpahan bahan kimia yang belum dikenal pasti sebelum menanti ketibaan Pasukan Unit Bahan Berbahaya dari BBP Alor Gajah bersama 15 keanggotaan yang tiba kira-kira 8.30 malam,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi awal pagi tadi.

Katanya, tumpahan itu menyebabkan cecair kimia yang mempunyai kepekatan 10 “parts per million” dan bacaan ph 1.1 itu mengalir dalam radius kira-kira 10m persegi di luar bangunan kilang tersebut.

Zulkifli berkata, cecair berkenaan bersifat menghakis dan ia boleh menyebabkan sesak nafas, pengsan atau kematian, selain kesan kepada kulit sekiranya terdedah terlalu lama dengan bahan kimia itu.

Beliau berkata, tiada perkara tidak diingini berlaku, terutama melibatkan pekerja kilang kerana sebaik insiden tumpahan cecair itu berlaku, pihak kilang telah mengambil langkah yang sewajarnya.