Kes 1MDB: Pelakon Leonardo DiCaprio beri keterangan di AS

Leonardo DiCaprio. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio memberi keterangan secara rahsia kepada juri agung di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, sebagai sebahagian siasatan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) ke atas transaksi 1MDB, lapor Washington Post hari ini.

Laporan yang memetik “individu yang biasa dengan kes itu” berkata, pendakwa raya berpendapat DiCaprio boleh memberi maklumat berguna mengenai pembiaya dari Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa mencuri dan mengubah berbilion dolar dari 1MDB dan membiayai kempen melobi untuk menamatkan siasatan itu.

Tetapi, laporan itu berkata, DiCaprio bukan sasaran siasatan itu.

Tidak diketahui apa yang DiCaprio beritahu juri agung, memandangkan ia adalah prosiding secara tertutup.

Washington Post turut melaporkan mereka tidak tahu bagaimana pihak berkuasa membawa DiCaprio keluar masuk dari Mahkamah Persekutuan tanpa menarik perhatian umum.

Seorang jurucakap DoJ dan wakil DiCaprio yang dihubungi Washington Post bagaimanapun enggan mengulas.

Jurucakap DiCaprio pernah berkata, pelakon itu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan “menyokong penuh semua usaha bagi memastikan berlaku keadilan dalam perkara ini”.

Pada 4 Disember lalu, Jho Low didakwa secara “in absentia”, iaitu tanpa ketidakhadiran di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung skandal 1MDB dan waran tangkap sudah dikeluarkan ke atasnya.

Dia turut didakwa di Mahkamah Persekutuan di New York akhir tahun lalu berhubung kecurian dan pengubahan wang.

Washington Post melaporkan pendakwa raya meneruskan kes berkaitan bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa terbabit dalam pengubahan wang dan seorang kakitangan DoJ yang mengaku membantu kempen melobi itu.

Menurut laporan itu, pendakwa raya baru-baru ini mendakwa dalam dokumen mahkamah yang bekas penyanyi rap Fugees, Prakazrel “Pras” Michel terbabit dalam membuka akaun untuk membuat bayaran bagi usaha lobi Jho low bagi menghentikan siasatan itu dan Michel yang berperanan sebagai perantara Jho Low, mengupah pemilik sebuah firma pelaburan untuk memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Donald Trump.

Bagaimanapun, usaha melobi itu gagal.

Menerusi dokumen mahkamah, pendakwa raya mendakwa Jho Low berkawan dengan DiCaprio, membenarkan pelakon itu berjudi menggunakan akaunnya di kasino Venetian, Las Vegas, memberi karya seni kepadanya dan membantunya mendapatkan dana untuk filem “The Wolf of Wall Street”.

Pendakwa raya berkata, Riza Aziz yang merupakan anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, memperkenalkan Jho Low kepada DiCaprio. Najib kini berdepan pertuduhan berhubung kes berkaitan 1MDB di Malaysia.

Pada 2016, pendakwa raya mula merampas aset, termasuk hasil pendapatan daripada filem yang mereka dakwa sebahagiannya dibiayai dana dicuri, yang dikesan kepada sebuah syarikat penerbitan diasaskan bersama oleh Riza.

Menurut laporan itu, DiCaprio mengucapkan terima kasih kepada Jho Low kerana berjaya memenangi anugerah Golden Globe atas peranannya dalam filem itu.

Pendakwa raya kemudiannya merampas sebuah lukisan Picasso daripada DiCaprio yang dikatakan dibeli dengan dana dicuri pada harga AS$3.2 juta dan dihadiahkan kepada pelakon itu oleh sekutu Jho Low.