LRT3: Penduduk Shah Alam gesa kerajaan kaji semula jajaran

Projek LRT3 sepanjang 37 kilometer itu akan bermula dari Bandar Utama, Shah Alam hingga ke Johan Setia, Klang, dan dijangka memberi kemudahan kepada 2 juta pengguna di koridor barat Lembah Klang.

SHAH ALAM: Penduduk di kejiranan Seksyen 7 di sini menggesa kerajaan mengkaji semula jajaran laluan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang melalui kawasan itu kerana mendakwa ia mengganggu ketenteraman dan keselamatan mereka.

Anggota Jawatankuasa Persatuan Penduduk Jalan Plumbum 101/103 Abdul Rahim Dawood berkata, gesaan itu juga dibuat berikutan pelan pembinaan jajaran berkenaan bakal ‘memusnahkan’ 2 taman permainan kanak-kanak sedia ada yang sering menjadi tumpuan golongan muda beriadah.
Katanya, pelan jajaran laluan itu menunjukkan ia akan dibina terlalu hampir dengan rumah penduduk dan dilihat amat tidak wajar kerana boleh menyebabkan kesesakan trafik dan mengganggu keselesaan mereka yang rata-rata mendiami kawasan itu lebih 10 tahun.

“Kami tidak menolak pembangunan, lebih-lebih lagi kemudahan pengangkutan awam seperti ini. namun kenapa jajaran LRT3 ini mesti dibina terlalu hampir dengan kediaman kami? Buatlah cara lain, pindahkan jajaran ke laluan lain dan bukan di kawasan depan rumah rakyat.

“Tapak taman permainan itu juga akan diambil untuk projek berkenaan dan ditutup semasa projek itu dibangunkan. Jika ia dibuka semula sekalipun, tidakkah kita bimbang untuk biarkan anak-anak bermain apabila laluan LRT3 dibina tinggi di atasnya?”, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pemaju projek LRT3, MRCB George Kent Sdn Bhd, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Nurziha Jailuddin, 43 berkata, walaupun projek berkenaan belum dibangunkan sepenuhnya di kawasan itu, namun kerja-kerja kecil pembinaan seperti mengesan lokasi utiliti sejak tahun lepas mengakibatkan banyak paip air pecah, termasuk paip saluran kumbahan selain kerosakan jalan raya.

Disebabkan itu katanya, mereka terpaksa menghidu bau kumbahan dan bekalan air juga sering terjejas malah diburukkan lagi apabila tindakan mengatasi masalah itu ada kalanya lambat dilaksanakan oleh pihak terlibat.

“Saya rasa adalah lebih baik diubah semula laluan itu, contohnya ke kawasan yang dekat dengan Hospital Shah Alam. Pada saya, ia pasti memudahkan golongan yang menggunakan khidmat institusi itu, bukan dibina dalam kawasan rumah kami,” katanya.

Projek LRT3 sepanjang 37 kilometer yang dirancang melalui beberapa kawasan dalam bandar raya Shah Alam akan bermula dari Bandar Utama hingga ke Johan Setia, Klang dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 5 tahun lagi.

Laluan yang hanya mengambil masa 58 minit waktu perjalanan itu akan dilengkapi 26 stesen dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 2 juta rakyat di koridor barat Lembah Klang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berkata, disebabkan isu bantahan terhadap jajaran laluan itu telah berlarutan sejak sebelum pilihan raya umum pada Mei lepas, pihaknya mengambil pendekatan menjadi pemudah cara dalam perjumpaan antara penduduk dan pemaju.

“Berdasarkan rintihan penduduk serta penjelasan daripada pihak pemaju, saya telah menghantar satu surat kepada Kementerian Pengangkutan bulan lepas, meminta mereka mengkaji kewajaran jajaran projek ini dan kalau boleh laluan yang dicadang tidak masuk dalam kawasan perumahan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Perhubungan Awam dan Komunikasi MRCB George Kent Sdn Bhd, Ravindran Raman Kutty memberitahu syarikat tersebut bersedia mengatasi masalah kerosakan jalan, sistem pembentungan dan paip pecah seperti mana yang dibangkitkan penduduk.

Katanya, syarikat telah beberapa kali berjumpa dan mengadakan sesi dialog dengan penduduk sejak 2015 mengenai projek terbabit, namun penjajaran semula laluan LRT3 itu hanya akan diputuskan oleh kerajaan.