Bayar dulu hutang RM2.5b sebelum tuntut hasil cukai pelancongan, Guan Eng beritahu Sarawak

Lim berkata, sehingga kini Putrajaya tidak mengagihkan hasil cukai itu kepada mana-mana negeri seperti didakwa.

PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak perlu membayar hutang sebanyak RM2.5 bilion kepada kerajaan persekutuan terlebih dahulu sebelum menuntut bahagiannya ke atas hasil cukai pelancongan berjumlah RM2.7 juta, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau mengingatkan kerajaan negeri bahawa RM50 juta daripada hutang tersebut kini tertunggak.

“Negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak dilangsaikan hutang kepada kerajaan persekutuan,” soalnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini, Lim menyindir Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kerana membuat tohmahan “fitnah” mengenai layanan kewangan tidak adil berhubung perkara itu.

Beliau berkata tohmahan tersebut menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak.

Lim berkata, akaun hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan agihan 50% hasil cukai dibuat kepada kerajaan negeri dalam suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, Karim harus bertanggungjawab dan profesional dengan tidak menuduh kerajaan persekutuan dan mendakwa ia tidak diberikan bahagian daripada hasil cukai pelancongan itu sedangkan negeri lain seperti Sabah menerimanya.

Lim berkata, sehingga kini Putrajaya tidak mengagihkan hasil cukai itu kepada mana-mana negeri seperti didakwa.

Lim berkata, walaupun kerajaan persekutuan terdahulu tidak berusaha untuk berkongsi hasil cukai pelancongan dengan negeri, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan dalam Belanjawan 2019 bahawa kerajaan negeri akan menerima 50% daripada hasil tersebut bermula tahun ini.

“Ini mencerminkan sikap baru kerajaan persekutuan yang menghormati negeri,” katanya.