Kayveas umum tanding di Cameron Highlands

M Kayveas (tengah) berkata, peluang beliau menang dalam PRK Cameron Highlands hanya 50/50.

KUALA LUMPUR: Tan Sri M Kayveas mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini, selepas mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi MyPPP yang diketuainya.

“Majlis tertinggi sebulat suara bersetuju kita bertanding dan calon adalah saya,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP di ibu pejabat parti itu hari ini.

Presiden MyPPP itu berebut kerusi Cameron Highlands dengan MIC pada pilihan raya umum ke-14, tetapi Barisan Nasional memutuskan untuk MIC mempertahankan kerusi Parlimen itu pada 9 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Kayveas berkata, peluang untuk beliau menang kerusi itu hanya 50/50.

“Tidak ada peluang jelas untuk menang, hanyalah 50/50 dan saya akan turun sebagai ‘underdog’.”

Katanya, MyPPP akan memutuskan lambang yang akan digunakan dalam PRK itu pada hari penamaan calon dan antara perkara yang akan diperjuangkannya ialah masalah buruh, isu tanah, Orang Asli serta kesesakan lalu lintas ketika cuti umum.

Sementara itu, Kayveas bertegas beliau ialah presiden MyPPP yang sah kerana presiden parti hanya boleh disingkirkan melalui mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat luar biasa.

“Anda pergi ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM). JPPM jelas menyatakan saya presiden parti.”

Jumaat lalu, DAP mengumumkan pemilihan M Manogaran sebagai calon Pakatan Harapan dalam PRK itu.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum 9 Mei lalu bagi kerusi Cameron Highlands yang disandang Datuk C Sivarraajh daripada MIC, terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Susulan itu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh di kerusi itu, selepas mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Disember lalu mengesahkan Sivarraajh yang merupakan naib presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK itu.

Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi Sivarraajh pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 597 undi, selepas menewaskan Manogaran dan 3 lawan lain.